SUNGAI PETANI -"Niat yang pertama nak ajar mengaji, kedua nak bukti pada masyarakat bahawa orang kurang upaya (OKU) penglihatan macam saya boleh buat benda lain selain buka kedai urut refleksologi”.
Demikian kata Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Imam Abu Hanifah di Bandar Puteri Jaya, Mahamad Hafizul Sham Mahamad Hanafiah, 43, yang mengusahakan pusat pengajian itu dengan menempatkan 14 pelajar lelaki berusia bawah 12 tahun.
Iklan
Iklan
"Terdetik di hati saya, orang tak nampak (buta penglihatan) yang ambil bidang refleksologi ada murid dan sebagainya boleh buka kedai urut, takkan saya yang ambil bidang tahfiz tak boleh buka maahad tahfiz? Saya mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut anak bongsu daripada enam beradik itu, dia mempelajari bacaan al-Quran Braille ketika menerima pendidikan khas di Jabi sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz Derga, Alor Setar.
Katanya, al-Quran Braille tersebut jenis bercetak yang mempunyai enam jilid dengan lima juzuk bagi setiap satu disalurkan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
“Tapi sekarang lebih mudah dengan al-Quran Braille digital sumbangan eBrelle. Kalau nak beli tak mampu, kosnya ribuan ringgit," katanya yang juga huffaz 30 juzuk.
Beliau dalam masa sama berharap masyarakat terus memberikan sokongan dan kepercayaan terhadap golongan sepertinya.