BERLIN - Jumlah penganggur di Jerman mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 12 tahun pada Januari apabila angka tersebut melepasi tiga juta orang.
Ia berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat, ketika pasaran buruh terus tertekan akibat kelemahan ekonomi.
Agensi Pekerjaan Persekutuan Jerman (BA) memaklumkan angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 177,000 orang berbanding bulan sebelumnya, sekali gus menaikkan kadar pengangguran sebanyak 0.4 mata peratusan kepada 6.6 peratus.
Ketua BA, Andrea Nahles berkata, pasaran buruh ketika ini menunjukkan momentum yang sangat lemah.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan mendadak pengangguran pada awal tahun adalah faktor bermusim, namun kali ini jumlah tersebut sekali lagi melepasi paras tiga juta orang.
Sebelum itu, angka pengangguran kekal di bawah paras berkenaan selama lebih sedekad.
Data BA turut menunjukkan pencari kerja berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
Bilangan kekosongan jawatan berdaftar pada Januari adalah sebanyak 598,000, menurun 34,000 berbanding tempoh sama.
Bagi Januari, hampir semua sektor masih mengurangkan tenaga kerja, dengan tekanan paling ketara dalam sektor perindustrian.
Pengeluar automotif dan logam dilaporkan merancang pengurangan kakitangan selanjutnya.
Kelembapan ekonomi yang berpanjangan terus memberi kesan kepada pasaran buruh di ekonomi terbesar Eropah itu.
Selepas mencatatkan penguncupan selama dua tahun berturut-turut, ekonomi Jerman hanya berkembang sebanyak 0.2 peratus pada 2025.
Purata kadar pengangguran bagi tahun 2025 pula berada pada 6.3 peratus, menandakan peningkatan tahunan untuk tahun ketiga berturut-turut. - Agensi