JOHOR BAHRU – UMNO Johor menegaskan pendirian parti itu untuk tidak menyokong usaha mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), meskipun DAP mengajak UMNO bekerjasama dengan Kerajaan Madani bagi meneruskan usaha berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, pelawaan DAP agar UMNO Johor bersama-sama kerajaan dalam isu pengiktirafan UEC ditolak secara jelas dan muktamad.
“Tidak adalah jawapan saya,” katanya ringkas dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP merangkap Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang berharap UMNO Johor menyokong usaha mengiktiraf UEC di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Sheikh Umar sebelum itu menegaskan, pendirian DAP terhadap UEC tidak pernah berubah, sama ada sebelum atau selepas menjadi kerajaan, dan isu itu telah dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018.
Menurutnya, langkah awal berkaitan UEC telah dimulakan ketika PH membentuk kerajaan, namun terhenti susulan kejatuhan kerajaan akibat Langkah Sheraton pada 2020.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa isu UEC dipergunakan untuk kepentingan politik, sebaliknya menegaskan ia berkaitan keadilan pendidikan dan prinsip anti-diskriminasi terhadap pelajar sekolah persendirian Cina.
Sheikh Umar berkata, DAP menyambut baik isyarat positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu UEC dan berharap UMNO Johor dapat bersama Kerajaan Madani dalam meneruskan usaha tersebut.