SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyelaras sistem pendidikan sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan dasar baharu pendidikan kebangsaan selaras kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu yang dilaksanakan mulai tahun depan bagi mengelakkan kekeliruan dan pertindihan sistem.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tempoh setahun yang ada ketika ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk proses adaptasi dan transisi supaya pelaksanaan dasar baharu itu berjalan lancar tanpa menjejaskan murid, ibu bapa dan tenaga pengajar.
"Kita tidak mahu wujud dua atau tiga sistem berbeza dalam satu negara, sebab itu kita akan cuba menyelaraskan dengan pihak Kementerian (Pendidikan) supaya tidak timbul kekeliruan atau kesan negatif kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS), di sini pada Khamis.
Menurut beliau, antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah penyediaan tenaga pengajar berkelayakan memandangkan proses melatih dan mendapatkan guru memerlukan perancangan jangka panjang antara tiga hingga lima tahun sebelum sesebuah sekolah dapat beroperasi secara lengkap.
"Bina sekolah bukan isu besar, tetapi untuk mendapatkan guru yang mencukupi dan berkualiti, itu mengambil masa.
"Sebab itu perubahan besar di peringkat kebangsaan perlu dilaksanakan secara tersusun dan berhati-hati," tambah beliau.
Amirudin berkata, kerajaan negeri juga mengambil kira kesan terhadap fasiliti dan tempoh pembelajaran termasuk kemungkinan pelaksanaan dua sesi persekolahan bagi menyesuaikan perubahan dasar tersebut.
Katanya, beliau turut mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor yang turut membincangkan beberapa perubahan dasar termasuk transisi Tingkatan Enam sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kemasukan murid secara sukarela dari umur enam tahun ke Tahun Satu.
Jelas berkata, pihaknya akan menunggu pembentangan dan pengumuman kertas cadangan oleh Bahagian Pendidikan JAIS sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
"Kita masih di peringkat awal tahun dan menjelang pertengahan tahun ini, hala tuju yang lebih jelas akan dapat dilihat," jelas beliau.
Menurutnya, pendekatan kerjasama antara semua entiti pendidikan amat penting bagi memastikan setiap perubahan dasar memberi manfaat menyeluruh tanpa menimbulkan kekeliruan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
"Ketika Ramadan nanti, saya juga merancang mengadakan pemukiman bersama keseluruhan jentera pendidikan negeri termasuk JAIS, Jabatan Pendidikan dan universiti," tambah beliau.