Rangkaian pusat urut terkemuka dibongkar: Disyaki bayar rasuah 'perlindungan' RM2.7 juta setahun

Iklan
Lima lagi individu ditahan SPRM untuk siasatan kes rasuah rangkaian pusat urut terkemuka. Foto: SPRM

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki terdapat bayaran rasuah RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai agensi penguat kuasa sebagai wang perlindungan berkenaan rangkaian pusat urut terkemuka di negara ini.

Ini susulan penahanan lima lagi individu pada Khamis melibatkan empat penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa.

Iklan
Iklan

Empat daripada mereka melibatkan tiga penguat kuasa dan seorang pesara berkenaan telah direman selama empat hari sehingga 2 Februari selepas permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Jumaat.

Menurut sumber, SPRM telah mengambil tindakan membekukan 124 akaun perbankan milik individu dan syarikat melibatkan nilai kira-kira RM13.3 juta.

Iklan

"Rangkaian pusat urut ini dipercayai menggunakan sistem perakaunan dua lapis di mana 80 peratus jualan tunai tidak dilaporkan, menyebabkan anggaran kebocoran cukai sebanyak RM7.56 juta setahun.

"Disyaki terdapat bayaran rasuah sebanyak RM2.7 juta setahun kepada beberapa pegawai agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan," katanya pada Jumaat.

Iklan

Lima lagi individu ditahan SPRM untuk siasatan kes rasuah rangkaian pusat urut terkemuka. Foto: SPRM

Kata sumber, kesemua suspek disyaki menerima suapan daripada syarikat perniagaan pusat urut untuk melancarkan operasi pusat urut serta memudah cara bagi proses permit pekerja asing syarikat tersebut.

"Sehingga kini juga, SPRM telah mengambil keterangan daripada 16 saksi bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber berkata, susulan siasatan itu juga, SPRM telah melakukan penggeledahan di enam lokasi di Lembah Klang melibatkan pejabat serta kediaman suspek-supek yang telah dikenal pasti.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan juga sedang menganalisis dan mengenal pasti elemen-eleman di bawah kesalahan jenayah lain khususnya di bawah aktiviti pengubahan wang haram.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan SPRM telah menahan reman lima individu bagi membantu siasatan kes rasuah penguat kuasa yang melibatkan sebuah rangkaian pusat urut terkemuka.

Empat suspek direman selama empat hari sehingga 31 Januari, manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga 30 Januari.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Bahagian Operasi Khas SPRM telah melaksanakan satu siasatan menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara, dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2023.

Siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, di mana sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.

Siasatan turut melibatkan pembekuan aset-aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki diperoleh hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram, meliputi lima buah kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta, lima unit premis komersial bernilai kira-kira RM7.3 juta, dua unit hartanah perindustrian bernilai lebih kurang RM2.3 juta, serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran sekitar RM7.7 juta.