Mahkamah benar Rosmah dapat sementara pasport untuk lawat anak di Singapura

Iklan
Datin Seri Rosmah Mansor

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara hingga 30 April bagi membolehkan beliau melawat anak perempuannya di Singapura.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh mengemukakan permohonan menerusi prosiding dalam talian di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azmi Ariffin, Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Iklan
Iklan

Hakim Azmi yang mempengerusikan panel itu membenarkan permohonan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai yang mewakili pihak pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Terdahulu, Jagjit Singh dengan dibantu Datuk Akberdin Abdul Kader, memaklumkan kepada mahkamah bahawa isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu memohon pelepasan pasport oleh mahkamah bagi membolehkan beliau ke Singapura pada 1 Februari hingga 30 April ini.

Iklan

Beliau berkata, Rosmah akan pulang ke Kuala Lumpur dan menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah pada 20 Februari ini.

Jagjit Singh berkata Rosmah akan kekal berada di Kuala Lumpur sehingga rayuannya di Mahkamah Persekutuan selesai, berhubung permohonan supaya seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar kesnya.

Iklan

Beliau berkata, pasport berkenaan kemudian akan dipulangkan semula kepada Rosmah pada 26 Februari untuk membolehkan Rosmah ke Singpura dan kekal di sana hingga 30 April.

Sebelum ini, Rosmah pernah mengemukakan permohonan sama untuk melawat anak perempuannya.

Jagjit Singh berkata, Rosmah akan berada di Kuala Lumpur bagi prosiding rayuannya berhubung permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid di Sarawak.

Rosmah telah memfailkan permohonan itu pada saat akhir sebelum Hakim Mohamed Zaini dijadual menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.

Dalam permohonannya, Rosmah mendakwa draf penghakiman dalam kesnya itu, yang didakwa disediakan oleh pihak ketiga, telah dibocorkan sebelum keputusan itu disampaikan.

Pada hari sama, Hakim Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah, 74, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta, dan sekiranya gagal membayar denda itu, hukuman penjara 30 tahun akan dikenakan. Beliau kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah bagaimanapun diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan rayuan.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P Sarulatha dan Ng Siew Wee. - Bernama