JAKARTA – Pedagang es gabus, Suderajat yang menjadi tular kerana dikasari pihak berkuasa setelah dituduh menggunakan bahan seperti span untuk hasil jualannya dihujani pelbagai hadiah disalurkan pihak yang bersimpati dengan nasibnya.
Sumbangan bertalu-talu itu disampaikan Wakil Presiden (Wapres) Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, pempengaruh, Aisar Khaled, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polres Metro Depok dan pemerintah daerah.
Hadiah paling bermakna buat bapa kepada lima anak itu adalah peluang untuk menunaikan umrah.
Suderajat, 49, bersama isterinya dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada Jumaat depan.
Pada akhir minggu lalu, namanya meraih perhatian ramai setelah rakaman memaparkan dua anggota Polri dan TNI melakukan kekerasan ke atasnya dikongsi secara meluas di media sosial.
Mereka menuduh hasil jualan Suderajat mengandungi bahan berbahaya hingga tergamak merosakkan kesemua es gabus tersebut.
Pemeriksaan mengejut itu dilakukan ke atasnya yang telah menjual pencuci mulut ais beku sejak 30 tahun lalu selepas menerima aduan penduduk setempat yang curiga dengan teksturnya.
Difahamkan, bekalan es gabus itu diperoleh daripada pembekal tempatan dan bukan dibuat sendiri olehnya.
“Hasil pemeriksaan makmal mendapati ia bole dimakan dan tidak mengandung zat berbahaya,” ujar Kasatreskrim Polres Metro Jakarta Pusat, AKBP Roby Heri Saputra pada Isnin lalu.
Dua petugas yang mengasari Suderajat turut meminta maaf kepadanya dan sudah pun dikenakan tindakan. - Agensi