KUALA LUMPUR - Peguam 'kotak pensel' hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bagi mewakili Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.
Peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar merayu anak guamnya, Mohamed Fauzi diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menyara isteri dan tiga anak.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa ketika menjawat Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa
Pelaburan TKAT, telah diamanahkan penguasaan ke atas wang berjumlah RM5 juta milik tabung kebajikan itu di akaun sebuah bank.
Bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut dengan menyalah gunakannya iaitu membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini, pada 27 November 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Mohamed Fauzi menyempurnakan upacara pelepasan pasukan Operasi Bantuan Kemanusiaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar susulan gempa bumi yang berlaku pada 28 Mac tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Nurul Izzati Sapifee.
AKAN MENYUSUL