KUALA KRAI – Selepas hampir 26 jam hilang, seorang pemancing yang terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di atas Jambatan Chaning, Pahi, di sini, pada Rabu lalu, akhirnya ditemukan lemas pada malam Khamis.
Pekerja restoran makanan segera, Ahmad Amirul Zawawi, 23, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 11 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.26 malam, Rabu.
“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang memancing.
“Mayatnya ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira 100 meter dari lokasi yang dilaporkan tempat dia terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa mangsa bersama rakan-rakannya sedang memancing di jambatan berkenaan sebelum dipercayai terjatuh dan kehilangannya disedari oleh salah seorang rakan.
Dalam pada itu, Nik Ahmad Afsham berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selama dua hari membabitkan seramai 36 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Machang, BBP Pengkalan Chepa, BBP Pengkalan Kubor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai bagi tindakan lanjut,” katanya.