RINGGIT dibuka dengan meningkat semula berbanding dolar AS pada Jumaat didorong ketidaktentuan yang berterusan di Amerika Syarikat (AS) yang terus menjejaskan mata wangnya, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 3.9190/9410 berbanding dolar AS, mengukuh daripada 3.9275/9315 semasa ditutup pada Khamis.
Paras pembukaan hari ini menjadikan ringgit hampir kepada kedudukan paling kukuh berbanding dolar AS sejak April 2018, apabila ia mencecah 3.9030.
Mohd Afzanizam berkata, Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.28 peratus kepada 96.175 mata berikutan Presiden AS Donald Trump terus memberi tekanan kepada Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menurunkan Kadar Dana Fed.
"Trump terus menyatakan bahawa bank pusat perlu menurunkan kadar faedah dengan ketara. Beliau turut menyatakan akan mengumumkan calon bagi jawatan pengerusi Fed minggu depan, membayangkan bahawa beliau akan memilih seseorang yang selaras dengan matlamatnya untuk kadar dasar yang lebih rendah,” katanya kepada Bernama.
Semalam, ringgit menyusut 0.23 peratus kepada RM3.9295 selepas Fed memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah dan mengeluarkan penilaian mengenai ekonomi AS yang positif.
"Oleh itu, ringgit berpotensi meneruskan aliran meningkatnya dalam keadaan ketidaktentuan di AS dan dolar yang rendah,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan serantau.
Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6899/7162 daripada 4.6953/7001 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding yen Jepun kepada 2.5588/5733 daripada 2.5616/5644 dan tinggi berbanding pound kepada 5.4114/4417 daripada 5.4207/4263.
Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1005/1181 daripada 3.1065/1099, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5356/6152 daripada 12.5930/6119 dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.65/6.69 daripada 6.66/6.67.
Mata wang tempatan turut meningkat semula berbanding rupiah Indonesia kepada 233.8/235.3 daripada 234.4/234.7 semalam. - Bernama