Antara dasar dan falsafah pendidikan negara

Iklan
Perbahasan mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 dan beberapa isu berkaitan, termasuk soal kemasukan murid ke Tahun Satu wajar dilihat melangkaui hiruk-pikuk polemik semasa. Foto hiasan

SETIAP kali isu pendidikan dibangkitkan, reaksi masyarakat lazimnya datang dalam bentuk yang sangat emosional.

Ada yang menyokong dengan penuh harapan, ada yang membantah dengan penuh kebimbangan.

Iklan
Iklan

Hakikatnya, kedua-dua reaksi ini lahir daripada satu sumber yang sama iaitu keinginan untuk melihat masa depan anak-anak negara berada di landasan betul.

Perbahasan mengenai Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 dan beberapa isu berkaitan, termasuk soal kemasukan murid ke Tahun Satu wajar dilihat melangkaui hiruk-pikuk polemik semasa.

Iklan

Sering kali kita terlupa bahawa usaha merangka pelan jangka panjang pendidikan bukanlah sesuatu yang baharu.

Wacana mengenai keperluan sebuah blueprint pendidikan nasional telah berlangsung sejak beberapa tahun lalu melalui sesi libat urus, kajian dan perbincangan melibatkan kementerian, agensi berkaitan, institusi pendidikan serta warga pendidik.

Iklan

Atas asas itu, sukar untuk menerima dakwaan bahawa RPN digubal secara tergesa-gesa.

Suatu hakikat yang perlu difahami, blueprint ini bukanlah milik peribadi menteri, ia merupakan satu dokumen dasar.

Menteri Pendidikan menyediakan kepimpinan dan hala tuju strategik, tetapi pelaksanaan sebenar dasar berkenaan diterjemahkan oleh barisan profesional dalam sistem pendidikan.

Dalam kalangan pendidik sendiri, terdapat pelbagai aliran pemikiran tentang pendekatan terbaik dalam pendidikan.

Ada yang cenderung kepada pendekatan akademik tradisional, pedagogi progresif dan ada yang menekankan pendidikan berasaskan kemahiran.

Maka, RPN wajar dilihat sebagai usaha mencari titik temu kepada pelbagai pandangan yang telah melalui proses pematangan.

Rancangan ini bukanlah menjanjikan kesempurnaan, tetapi menawarkan satu kerangka besar sebagai panduan bersama.

Menyokong blueprint pendidikan tidak bermaksud kita menutup mata terhadap kelemahan, sebaliknya ia bermaksud kita mengiktiraf keperluan kepada satu kompas nasional, pada masa sama menuntut pelaksanaan lebih kemas, telus dan berkesan.

Banyak kritikan yang muncul sebenarnya lebih menjurus kepada soal pelaksanaan, kekeliruan komunikasi atau ketidaksamaan kesiapsiagaan.

Isu nyata ini memang tidak boleh dinafikan namun, ia tidak seharusnya diterjemahkan sebagai penolakan terhadap keseluruhan rancangan.

Dalam sistem yang melibatkan ribuan sekolah dan ratusan ribu guru, sudah pasti jurang antara tujuan dasar dan realiti pelaksanaan sentiasa wujud dan sentiasa menjadi perhatian.

Yang membezakan sistem yang matang dengan gagal ialah kesediaan untuk membetulkan jurang tersebut.

Apa pun bentuk pembaharuan yang diperkenalkan, akhirnya semua perlu kembali kepada asas paling fundamental dalam pendidikan negara iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Falsafah ini dirangka ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Ia lahir daripada kesedaran bahawa pendidikan tidak boleh dibina semata-mata atas keperluan ekonomi atau kehendak pasaran, tetapi mesti berpaksikan pada pembinaan insan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan menegaskan bahawa pendidikan ialah proses mengembangkan potensi insan secara menyeluruh dan bersepadu.

Ia merangkumi dimensi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan kata lain, matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan pekerja cekap, tetapi manusia yang berfikir, berakhlak dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negaranya.

Dalam kerangka ini, RPN seharusnya dinilai berdasarkan sejauh mana ia kekal setia kepada falsafah tersebut.

Selagi prinsip asas ini dipertahankan, perbezaan pandangan tentang pendekatan dan mekanisme pelaksanaan wajar diraikan sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan.

Reformasi pendidikan bukan soal siapa betul atau siapa salah. Ia merupakan perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan keberanian untuk berubah.

Yang diperlukan oleh rakyat hari ini bukan lagi janji-janji kesempurnaan, tetapi keyakinan bahawa setiap pembaharuan dibuat secara berfikir, berperingkat dan berpaksikan kepentingan terbaik anak-anak Malaysia.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Putrajaya