KUNCI kejayaan perniagaan dan individu terletak pada satu prinsip asas – pemahaman yang jelas serta sejagat mengenai apa yang dianggap sebagai prestasi dan apa yang tidak.
Tanpa kejelasan itu, kekeliruan akan meresap ke setiap sudut organisasi. Matlamat menjadi kabur, jangkaan bertentangan, malah pemimpin dan pasukan yang paling berdedikasi sekalipun akhirnya seolah-olah bercakap dalam ‘bahasa’ berbeza.
Kejelasan matlamat serta hasil kerja bergantung kepada keselarasan antara pihak atasan dan bawahan iaitu memahami bukan sahaja apa yang perlu dicapai tetapi juga bagaimana kejayaan akan ditakrif dan diukur. Hanya dengan itu, soalan asas kepimpinan dapat dijawab.
Bagaimanakah kita mengurus dan memanfaatkan pekerja berprestasi cemerlang? Bagaimana kita membantu dan membimbing pekerja berprestasi sederhana untuk mencapai potensi penuh mereka? Bagaimana pula kita memantau pekerja berprestasi rendah agar mencapai piawaian diharapkan?
Namun, di kebanyakan tempat kerja di Malaysia, wujud salah tafsir serius tentang makna sebenar prestasi. Terlalu ramai rakyat Malaysia mempunyai persepsi salah mengenai prestasi. Majoriti pekerja pada tahap biasa-biasa (mediocre) sering menganggap diri mereka sebagai pekerja cemerlang.
Ramai menilai diri mereka sebagai ‘A’ atau ‘5 bintang’ hanya kerana mereka masuk kerja jam sembilan dan pulang jam lima, menyelesaikan tugasan diberi dan mengelak kesilapan. Ramai masih membawa mentaliti sekolah, dengan skor 100 peratus dianggap sebagai prestasi gred A.
Dalam dunia perniagaan dan pekerjaan, itu bukan kecemerlangan, itu hanyalah memenuhi jangkaan. Hakikatnya, kebanyakan individu ini pada tahap yang terbaik, hanya boleh dinilai setara C – (tolak). Berapa ramai antara kita yang benar-benar mampu menumpukan perhatian dan berprestasi pada tahap 100 peratus setiap hari?
Lebih membimbangkan, kita telah menjadi sebuah negara yang saling ‘menipu’ antara satu sama lain tentang prestasi. Pihak atasan mengelak daripada mengurus ketegangan dan menjauhkan diri daripada perbualan tidak menyenangkan. Ramai juga mengelak daripada menyatakan kelemahan dan tabiat buruk secara jelas semata-mata kerana mahu dilihat sebagai ‘bos yang baik’.
Setiap tahun, bonus diagihkan hampir ke seluruh organisasi, menyebabkan hampir setiap pekerja percaya bahawa mereka telah memberikan usaha luar biasa. Demi mengekalkan imej ‘baik’, kita cenderung memutarbelitkan realiti. Hasilnya, kita melahirkan tenaga kerja yang tidak lagi tahu menilai diri sendiri – di mana persepsi diri dan realiti berdiri sejauh jarak antara Kangar dan Kota Kinabalu.
Kayu ukur prestasi
Walaupun dokumen sumber manusia (HR) menggariskan prestasi dalam bahasa korporat yang indah, mesej itu selalunya tidak ‘mencapai’ orang ramai. Kita memerlukan kayu ukur lebih mudah, jelas dan jujur untuk difahami semua.
Pekerja cemerlang (A/5) memberikan hasil kerja tahap luar biasa, jauh mengatasi rakan sejawat yang lain. Individu berikutnya jauh ketinggalan di belakang standard mereka.
Anda bagaikan Steve Jobs, Nicol David, P Ramlee atau Lionel Messi dalam bidang anda – luar biasa, konsisten dan berdaya saing tinggi. Dalam perlumbaan maraton, anda antara yang memecut laju dan menamatkan perlumbaan jauh di hadapan ribuan peserta lain.
Anda diberikan kepercayaan mengendalikan projek berskala besar, kerap ‘dikejar’ untuk kepakaran dan sering diberi tanggungjawab melebihi skop kerja kerana anda menjadikan kecemerlangan itu nampak mudah.
Pekerja berprestasi di atas purata (B/4) secara konsisten memberikan lebih daripada 100 peratus walaupun belum mencapai tahap luar biasa. Anda mampu mengajar, membimbing dan membentuk orang lain kerana kualiti kerja yang jelas lebih tinggi.
Pihak atasan jarang perlu memantau anda kerana boleh dipercayai walaupun tanpa pengawasan. Anda menyiapkan tugasan lebih awal dan memberi nilai tambah kepada hasil kerja. Rakan sejawat melihat anda sebagai suri teladan, malah anda secara tidak langsung menjadi sumber rujukan dalam organisasi.
Pekerja berprestasi sederhana (C/3) memberikan hasil kerja 100 peratus, memenuhi peranan secara berdikari dan memenuhi semua keperluan kerja. Pihak atasan tidak perlu mengejar atau memantau anda kerana anda boleh dipercayai untuk menghantar kerja tepat pada masa dengan kualiti diperlukan.
Apabila pihak atasan perlu mengejar anda atau menunjukkan cara untuk melakukannya, anda bukan lagi pekerja gred C, sebaliknya C – (tolak). Pekerja C yang sebenar ialah aset organisasi, boleh diharap, konsisten dan amanah. Anda menyelesaikan tugasan dan memastikan perkara berjalan seperti sepatutnya.
Pekerja di bawah purata (D/2) memberikan hasil kerja pada atau di bawah 99 peratus dan memerlukan bimbingan serta penyeliaan untuk mencapai piawaian asas. Anda kadangkala terlepas tarikh akhir atau tidak memenuhi jangkaan, memaksa pihak atasan untuk memantau dan menyusul.
Pekerja berprestasi D mungkin menunjukkan saat-saat kecemerlangan tetapi masalah utama mereka terletak pada ketidakkonsistenan dan disiplin lemah. Niat yang baik sahaja tidak mencukupi jika tindakan konsisten tidak dilaksanakan.
Pekerja lemah (E/1) beroperasi jauh di bawah jangkaan dan secara konsisten gagal menghasilkan hasil walaupun diberikan bimbingan dan pantauan. Mereka perlu pemantauan berterusan, menunjukkan disiplin yang lemah, enggan menerima maklum balas dan mempunyai tabiat seperti lewat, memberi alasan serta kerap salahkan orang lain.
Masalah sikap itu seterusnya menjejaskan semangat dan prestasi pasukan secara keseluruhan. Ringkasnya, pekerja gred E kekurangan dorongan, disiplin dan komitmen untuk mencapai piawaian asas. Mereka harus berubah atau disingkirkan.
Pemahaman
Jika kita ingin membina organisasi bertaraf dunia, sama ada dalam sektor kerajaan, perniagaan atau pendidikan, kita mesti terlebih dahulu menyelaraskan pemahaman kita tentang prestasi.
Pemimpin mesti mempunyai keberanian bercakap benar dan kebijaksanaan untuk mengimbangi empati dengan akauntabiliti. Seorang pemimpin yang berwibawa mampu mengurus ketegangan, memberi maklum balas jujur dan bersedia mengadakan perbualan serta tindakan yang sukar jika perlu.
Kejelasan dalam mentakrifkan, mengukur dan menyampaikan prestasi bukan sekadar latihan teknikal, ia tanggungjawab moral. Ia memastikan keadilan, memacu pertumbuhan dan memulihkan integriti di tempat kerja.
Apabila semua orang, daripada pengurusan atasan hingga pekerja baharu memahami maksud sebenar prestasi, kecemerlangan tidak lagi menjadi satu pengecualian tetapi sebahagian budaya organisasi.
Marilah kita sebagai pemimpin industri dan institusi awam, memimpin gerakan ke arah kejelasan ini. Marilah kita menjadikan prestasi sesuatu yang realistik semula, untuk pasukan kita, organisasi kita dan negara kita. Kita mesti mengingati kata-kata hikmah Peter Drucker: “What gets measured, gets improved."
*Anas Zubedy ialah Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, sebuah firma pembangunan insan dan organisasi. Beliau menulis mengenai kepimpinan, pengurusan dan keberkesanan tempat kerja