SHAH ALAM – Keputusan kerajaan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan berdaftar asing yang menyalahgunakan petrol RON95 bersubsidi bermula 1 April menamatkan kebergantungan penguatkuasaan yang selama ini tertumpu hampir sepenuhnya kepada pengusaha stesen minyak.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata pengiktirafan liabiliti di pihak pembeli itu merupakan pendirian lama yang diperjuangkan persatuan berkenaan dan menandakan langkah penting ke arah rangka kerja penguatkuasaan yang lebih seimbang dan adil.
Menurutnya, buat pertama kali pelaku sebenar yang mempunyai niat, iaitu pemandu yang dengan sengaja menyalahgunakan bahan api bersubsidi, boleh dipertanggungjawabkan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keberkesanan dan keadilan dasar itu bergantung sepenuhnya kepada kaedah pelaksanaannya di lapangan.
“PDAM tidak mempertahankan sebarang salah laku. Jika terdapat pengusaha stesen minyak yang dengan sengaja dan secara sedar menjual bahan api bersubsidi kepada pihak yang tidak layak, tindakan wajar mesti diambil,” ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.
Namun, beliau berkata kebanyakan stesen minyak kini beroperasi secara layan diri dengan jumlah tenaga kerja yang telah dioptimumkan di bawah struktur komisen tetap, menyebabkan pengusaha tidak mempunyai keupayaan praktikal untuk melakukan pengesahan masa nyata terhadap setiap kenderaan, khususnya di stesen yang mencatatkan transaksi tinggi.
Sehubungan itu, ujarnya, pengusaha bukan pegawai penguat kuasa dan tanggungjawab penguatkuasaan perlu terletak terutamanya kepada pihak berkuasa serta sistem yang bersesuaian dan tidak dipindahkan kepada pengusaha.
Khairul Annuar turut menyorot realiti penguatkuasaan sedia ada, yang mana kebanyakan kes hanya dikesan selepas video tular atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tersebar, ketika kenderaan terbabit, khususnya yang berdaftar asing, lazimnya sudah keluar dari negara.
Keadaan itu, ujarnya, secara sejarahnya menyebabkan tindakan penguatkuasaan hampir sepenuhnya ditujukan kepada pengusaha stesen minyak, walaupun tanpa niat atau pengetahuan di pihak mereka.
Beliau menegaskan bahawa hukuman perlu sepadan dengan niat dan impak, memandangkan pengusaha berdepan penalti sehingga RM1 juta hingga RM1.5 juta, sedangkan keuntungan daripada satu transaksi adalah amat kecil.
Sebaliknya, ujarnya, pemandu yang dengan sengaja menyembunyikan nombor pendaftaran atau membuat representasi palsu terhadap kenderaan mereka bertindak dengan niat yang jelas, justeru penalti terhadap pelaku perlu bermakna, berkadar dan mencerminkan tahap kesalahan.
Dalam beberapa kes, ujarnya, RON95 dijual pada harga tidak bersubsidi atau harga pasaran, dan walaupun kewajipan pematuhan tetap terpakai, ketiadaan kerugian subsidi dalam situasi sedemikian menunjukkan risiko penguatkuasaan yang terpisah daripada objektif sebenar perlindungan subsidi.
PDAM juga menyuarakan kebimbangan terhadap laporan berkaitan penggunaan imej direka, nombor pendaftaran asing palsu serta peras ugut yang mengeksploitasi ketidakseimbangan penguatkuasaan, dengan beberapa pengusaha telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, Khairul Annuar berkata PDAM menyokong penggunaan penguatkuasaan berasaskan teknologi, seperti sistem yang mengesan kenderaan berdaftar asing dan mengehadkan pengisian kepada RON97, sekiranya sesuai dilaksanakan.
“Jika sistem sedemikian didapati tidak praktikal atau tidak seimbang dari segi kos dan sumber, keutamaan penguatkuasaan wajar diberikan kepada kebocoran subsidi berimpak tinggi, khususnya melibatkan sindiket terancang dan penyelewengan berskala besar.
“PDAM tidak meminta penguatkuasaan diperlemahkan. Kami meminta penguatkuasaan yang adil, berkadar, praktikal dan selari dengan impak ekonomi sebenar,” ujarnya.
Menurut beliau, pengusaha berhak mendapat keadilan, manakala orang awam berhak mendapat pertanggungjawaban.