KUALA LUMPUR - Seramai 138 mangsa pemerdagangan orang dan eksploitasi buruh paksa berjaya diselamatkan menerusi Op Pintas Khas yang dilancarkan secara serentak di seluruh negara pada Rabu.
Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu memberi tumpuan khusus kepada pembanterasan jenayah perhambaan moden dalam sektor perladangan kelapa sawit dan pembuatan sarung tangan getah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata, sebanyak 77 serbuan dilaksanakan membabitkan 14 kontinjen dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
"Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 58 lelaki dan 23 wanita dewasa, serta 57 kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun.
"Siasatan mendapati mangsa terdiri daripada pelbagai warganegara iaitu 75 warga Myanmar, Indonesia (34), Bangladesh (13), Filipina (8) dan lapan warga tempatan.
"Lebih memilukan, antara mangsa yang diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pendengaran dan bisu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut mengenai modus operandi, Kumar mendedahkan lapan indikator buruh paksa dikenal pasti sepanjang operasi berkenaan.
"Antara yang dikesan termasuk penahanan dokumen identiti, penahanan gaji, pengehadan pergerakan, kerja lebih masa melampau, serta penyediaan kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai," katanya.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, polis menahan 67 individu dipercayai majikan dan penyelia berusia lingkungan 30 hingga 69 tahun bagi membantu siasatan.
"Tangkapan melibatkan 42 warga tempatan dan 25 warga asing. Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Katanya, sabit kesalahan memperdagangkan orang bagi tujuan eksploitasi, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, manakala bagi kesalahan melibatkan kanak-kanak atau golongan tidak berupaya, hukuman boleh membawa kepada penjara seumur hidup dan sebatan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa," ujarnya.