EAIC mahu tindakan segera syor tatatertib dan penambahbaikan sistem dalaman

Iklan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menekankan keperluan tindakan segera terhadap syor tatatertib serta penambahbaikan sistem dan mekanisme dalaman bagi memastikan tadbir urus berintegriti dalam kalangan agensi penguat kuasa.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan bahawa pendirian itu sejajar dengan ketegasan yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung keperluan memperkukuh integriti dalam kalangan penjawat awam, khususnya agensi penguat kuasa.

Iklan
Iklan

“Teguran itu adalah sejajar dengan pemantauan dan siasatan EAIC terhadap salah laku, termasuk penyalahgunaan kuasa serta kelemahan dalam ekosistem tadbir urus integriti perkhidmatan awam, khususnya agensi penguat kuasa,” katanya.

Menurutnya, EAIC turut merujuk semula kes-kes tatatertib yang tidak atau belum diambil tindakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) berkenaan dan akan dipanjangkan kepada ketua perkhidmatan yang berkaitan untuk diambil tindakan segera.

Iklan

“Tindakan tegas dan pematuhan oleh ketua-ketua jabatan merupakan kunci utama dalam memperkukuh integriti penguatkuasaan serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Penyeludupan, rasuah dan kegiatan gelap bukan sahaja menjejaskan kredibiliti agensi, malah merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara serta tidak boleh diterima atau dinormalisasikan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Iklan

Pada Rabu, Anwar memberi tempoh seminggu kepada pimpinan badan penguat kuasa di negara ini untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.

Menurut Anwar, sekiranya pimpinan penguat kuasa terbabit tidak mampu melaksanakan tugas tersebut, mereka boleh bersedia untuk diletakkan di jawatan yang lebih rendah atau diberikan tanggungjawab yang lebih kecil.

Beliau mengakui sudah hilang sabar dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang berlaku dalam negara ketika ini.