Lambakan jenama makanan, minuman asing tekan peruncit tempatan - BRO

Iklan
BRO menuntut ketelusan penuh dalam promosi digital oleh jenama asing serta akujanji tanggungjawab perniagaan yang jelas di Malaysia. Foto hiasan

SHAH ALAM – Gelombang kemasukan jenama makanan dan minuman (F&B) serta peruncit asing ke pasaran negara kini mula menekan kelangsungan perniagaan peruncit tempatan, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.

Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) dalam kenyataan pada Khamis menzahirkan kebimbangan serius terhadap perkembangan berkenaan yang disifatkan tidak seimbang.

Iklan
Iklan

Jelasnya, menurut pemerhatian BRO, strategi pemasaran agresif oleh jenama asing termasuk tawaran harga di bawah kos, diskaun berterusan dan perluasan pesat di kawasan strategik telah memberi impak negatif kepada peruncit tempatan yang beroperasi dengan margin keuntungan sempit serta sumber modal dan pemasaran yang terhad.

"Pesaing asing sering menggunakan platform digital, aplikasi penghantaran dan algoritma penetapan harga yang memberi kelebihan struktur tidak seimbang berbanding perniagaan tempatan yang masih bergelut untuk menambah baik capaian digital mereka," menurut kenyataan itu.

Iklan

Mengulas lanjut, BRO berpandangan bahawa persaingan tidak seimbang ini bukan sahaja menyukarkan usaha bersaing secara adil dalam aspek penetapan harga, malah turut menyulitkan kelangsungan perniagaan tempatan.

“Ramai usahawan Bumiputera kekurangan modal kukuh dan akses kepada strategi pemasaran digital berbanding jenama asing yang besar, sekali gus memberi kelebihan tidak seimbang dalam pasaran Malaysia.

Iklan

“Walaupun harga yang lebih rendah mungkin memberi manfaat sementara kepada pengguna, BRO menegaskan bahawa persaingan yang tidak seimbang akan mengurangkan pilihan pengguna, melemahkan inovasi tempatan dan berpotensi menaikkan harga apabila persaingan berkurangan,” jelas BRO.

Justeru, BRO menuntut ketelusan penuh dalam promosi digital oleh jenama asing serta akujanji tanggungjawab perniagaan yang jelas di Malaysia, termasuk keperluan melantik wakil tempatan yang bertanggungjawab agar wujud mekanisme aduan yang jelas untuk pengguna.

Sehubungan itu, BRO menyokong semakan dan pengemaskinian garis panduan pelaburan asing dalam sektor peruncitan dan F&B selaras dengan dinamika pasaran digital semasa.

Menurut kenyataan itu lagi, perlu ada penguatkuasaan yang jelas terhadap penetapan harga predatori, penyenaraian dalam platform e-dagang dan tanggungjawab platform digital terhadap kandungan promosi.

“Perlu ditetapkan keperluan responsif tempatan bagi jenama asing, contohnya penubuhan pejabat operasi, pengurusan aduan dan pematuhan kewajipan cukai agar perniagaan mereka lebih bertanggungjawab terhadap ekonomi Malaysia.

“BRO juga menyeru agensi kerajaan yang berkaitan agar melaksanakan langkah saksama yang dapat memelihara daya saing perniagaan tempatan tanpa bersifat proteksionis, serta terus menyokong inovasi dan kemahiran digital bagi peruncit tempatan supaya mereka lebih berdaya saing.

“Kami percaya bahawa ekosistem perniagaan yang seimbang akan memberi manfaat kepada pengguna dan perniagaan tempatan, serta mengukuhkan ekonomi domestik secara inklusif,” menurut BRO.