BERDIRI sebagai antara 10 pelopor terawal dalam industri pakaian sukan custom, dua sahabat cekal bertahan ketika persaingan terus menghimpit.
Namun, pemilik perniagaan Dope Print Enterprise, Amir Shahir Adnan dan Razi Effendi Suhit mengakui perjalanan untuk memastikan syarikat terus beroperasi bukan perkara mudah.
Amir selaku pengurus operasi berkata, Dope Print yang bertapak sejak tujuh tahun lalu, tidak terkecuali dalam melalui fasa-fasa sukar yang menguji kekuatan untuk mereka bertahan.
Namun, mengenangkan kepayahan pasukan kerja menghasilkan produk bermula dengan segulung kain putih kosong, sehingga mampu meraih kepercayaan pelanggan yang setia membuat tempahan, beliau sama sekali enggan mengalah.
"Kami bermula daripada kosong. Walaupun saya dari industri pencetakan buku, sebelum terjun ke bidang pencetakan pakaian sukan, semuanya tak sama.
"Ada kawan yang sudi ajar kami, tapi disebabkan kekangan masa, kami terpaksa belajar sendiri untuk pastikan perniagaan dapat beroperasi lebih-lebih lagi dalam bulan pertama lepas banyak modal dah dikeluarkan.
"Setiap tempahan kami buat secara manual. Potong, jahit kain sendiri. Sampaikan banyak kain yang rosak dan dalam tempoh belajar tu kami terpaksa tanggung kerugian ribuan ringgit," katanya kepada Sinar Bisnes ketika ditemui baru-baru ini.
Amir yang mesra dengan panggilan angah menjelaskan, Dope Print menawarkan produk menggunakan kaedah pencetakan 'sublimation' yang memerlukan kos modal yang tinggi melibatkan penggunaan teknologi mesin dan dakwat khas.
Kerana itu beliau berkata, mereka perlu memastikan setiap perkara yang diusahakan dan dilaburkan tidak berhenti di tengah jalan.
"Kami bermula dengan modal permulaan sebanyak RM150,000 dan kami juga meletakkan penanda aras dalam simpanan perniagaan untuk pastikan syarikat mampu beroperasi tanpa menjejaskan pasukan.
"Ketika dunia berdepan ujian pandemik Covid-19, alhamdulillah kami dapat bertahan. Kami masih mampu bayar gaji pasukan kerja dengan penuh. Tiada satu pun tertunggak," katanya.
Harga jadi musuh
Ketika seluruh pasukan yang turut terdiri daripada pereka grafik dan beberapa kakitangan lain bersama-sama menahan benteng perniagaan daripada runtuh, Amir mengakui realiti perniagaan dalam industri tersebut terus menekan keupayaan mereka untuk bertahan.
Ilmu dan kemahiran mungkin bukan lagi cabaran utama, tapi beberapa tahun kebelakangan ini, 'musuh' sudah bertukar rupa, iaitu harga.
Amir berkata, kehadiran kilang besar, mesin murah dari China dan lambakan pemain baharu yang berlumba-lumba menurunkan harga menjadikan medan pasaran semakin sesak.
Perbandingan mudahnya jelas beliau, untuk dakwat bagi mesin jenama Jepun boleh mencecah sekitar RM270 seliter, sedangkan dakwat bagi mesin China boleh jatuh serendah RM80.
"Bezanya terlalu besar. Bila kos asas sudah jauh berbeza, syarikat kecil yang memilih hasil berkualiti terpaksa bergelut untuk kekalkan harga yang masuk akal.
"Tapi kami mahu terus kekal dengan kualiti premium, hasil produk tempahan yang betul-betul memuaskan hati, bukan sekadar nak kejar tempahan," katanya.
Ketika Dope Print kekal berprinsip mengekalkan kualiti pembuatan, Amir mendedahkan, terdapat pemain industri yang tidak menitik beratkan kualiti termasuk ‘menconteng’ nilai kejujuran.
Katanya, ‘tarik kain’ atau mengambil atau mengurangkan potongan kecil setiap helaian baju yang ditempah antara perkara yang sering berlaku apabila membahaskan soal kualiti.
“Saiz baju kadang-kadang jadi lebih kecil sedikit berbanding saiz asal disebabkan taktik ini.
“Macam tu juga dengan kualiti warna cetakan. Kita sebagai pemain industri boleh tahu beza warna (yang dikurangkan) dengan warna yang sepatutnya ikut standard kualiti,” katanya.
Tempahan saat akhir
Ditanya kelebihan utama yang ditawarkan Dope Print, Amir berkata, kemahiran yang ada dalam pasukan membuatkan mereka mampu menerima tempahan dan memenuhi permintaan pada saat-saat akhir.
Ujarnya, kemampuan untuk menyiapkan tempahan dalam tempoh singkat juga menjadi antara faktor keyakinan pelanggan untuk setia membuat tempahan.
"Dengan sgala kekangan mesin dan tenaga manusia, kami belajar untuk bermain dalam ruangan yang sempit dan beri sehabis baik untuk penuhi permintaan pelanggan.
"Biasanya siap dua ke tiga minggu. Tapi kami boleh siapkan dalam lima hari, tiga hari dan kadang-kala lebih cepat daripada tu, khususnya untuk pelanggan yang betul-betul terdesak," katanya.
Tambah beliau, mereka juga komited menyiapkan tempahan dalam tempoh yang dijanjikan.
"Sepanjang kami beroperasi, belum pernah ada tempahan yang melepasi deadline yang ditetapkan. Kami usaha sebaik mungkin untuk pastikan setiap tempahan siap seperti yang dijanjikan," katanya.
Tuah batu loncatan
Bagi Razi, selaku Pengarah Dope Print, beliau bersyukur dengan sokongan yang diterima daripada kenalan dengan membuat tempahan ketika mula-mula syarikat beroperasi, sehingga mampu berkembang sehingga hari ini.
Beliau juga bekas pemain bola sepak profesional negeri Perak juga tidak menolak bahawa, latar belakangnya menjadi satu batu loncatan dalam bidang perniagaan yang diceburi.
"Sebenarnya sebelum bersama-sama dalam syarikat ini, saya pernah dalam perniagaan makanan. Tapi tak kena dengan jiwa saya dan tak dapat bertahan.
"Jadi mungkin perniagaan sekarang ni kena dengan jiwa saya, sebab saya pun daripada latar belakang sukan.
"Pemain-pemain, bekas-bekas pemain dan kawan-kawan bila tahu kami buka kedai buat baju sukan ni, mereka akan cari saya.
"Dari situlah mula, kawan kepada pelanggan dan berkembang," katanya.
Antara realiti dan harapan
Setiap usahawan punya impian. Begitu juga dengan Razi dan juga rakan perniagaannya Amir.
Namun, realitinya, mereka terpaksa mengakui bahawa setiap harapan dan impian tidak datang dalam bentuk angka atau sasaran cawangan.
Dalam suasana harga yang dihimpit kilang besar dan persaingan yang makin bertambah, kedua-dua rakan kongsi ini memilik untuk lebih realistik.
“Ramai pemain baharu yang muncul, tapi hakikatnya, ramai juga pemain industri yang tutup,” kata Amir.
“Dapat bertahan, perniagaan tak tutup juga dah jadi satu kejayaan untuk kami,” ujar Razi.
Mengakui pernah terfikir untuk menghentikan operasi, mereka bagaimanapun memilih untuk bertahan daripada 'mematikan suis mesin'.
Bagi Razi, beliau memilih untuk menyimpan harapan sederhana untuk lihat Dope Print masih wujud lima tahun akan datang.
“Kalau boleh memang nak naik ke tahap lebih tinggi. Mungkin kalau bukan nombor satu di Malaysia, tetapi cukup untuk berdiri sama tinggi dengan pemain yang lebih besar tanpa mengorbankan prinsip kualiti,” katanya.
Perjuangan mereka ringkas, bertahan dengan bermaruah dalam dunia di mana harga semakin murah, tetapi nilai kejujuran dan kualiti makin mahal.
Di satu sudut, meskipun atas meja kecil, di celah kain dan kertas, mereka terus merancang.
Dope Print kini dalam fasa untuk mengembangkan segmen pembuatan seluar sukan berbanding hanya baju sukan semata-mata.