BMW dipandu ahli perniagaan warga Bangladesh disita JPJ

Iklan
Tindakan seorang warga Bangladesh memandu kereta mewah tanpa cukai jalan sah membawa padah selepas kenderaannya disita JPJ menerusi Ops Luxury.

MELAKA - Tindakan seorang warga Bangladesh memandu kereta mewah tanpa cukai jalan sah membawa padah selepas kenderaannya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga merupakan ahli perniagaan itu ditahan di Bukit Rambai pada 20 Januari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memiliki lesen memandu sah namun Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) serta perlindungan insurans kenderaan tersebut telah tamat tempoh.

“Kenderaan jenis BMW tersebut telah disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ditemui pada Operasi Bersepadu diadakan di Paya Rumput di sini pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, setakat 27 Januari lalu JPJ telah memeriksa 579 kenderaan menerusi Ops Luxury dengan 85 kenderaan diambil tindakan dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

“Ia termasuk 17 buah kenderaan pada bulan Januari ini sahaja.

Iklan

“Kenderaan jenis Mercedes-Benz mencatatkan jumlah sita tertinggi iaitu sebanyak 20 buah diikuti 16 buah Toyota Vellfire, sepuluh Toyota Alphard dan 12 BMW serta beberapa kenderaan mewah lain turut disita dalam operasi ini,” katanya.

Katanya, kesalahan LKM tamat tempoh dan kenderaan tiada perlindungan insurans merupakan kesalahan paling kerap dicatat sepanjang penguatkuasaan Ops Luxury.

End