KOTA BHARU - Kerajaan mula menguatkuasakan sepenuhnya pemasangan Speed Limitation Device (SLD) pada bas di seluruh negara dan mana-mana pengendali yang gagal mematuhi syarat berkenaan akan dikenakan tindakan tegas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah penguatkuasaan itu dilaksanakan selepas tempoh pelaksanaan fasa pertama berakhir pada 31 Disember lalu, sekali gus menandakan tiada lagi kelonggaran diberikan kepada pengendali bas.
"Sekarang kita sudah mula menguatkuasakan pemasangan SLD. Mana-mana bas yang gagal memasang peranti ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan," kata semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu, beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.
Menurut beliau, SLD berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum bas termasuk kepada 90 kilometer sejam, bagi menghalang pemandu daripada memecut melebihi had yang ditetapkan.
Katanya, pemasangan SLD adalah wajib sepenuhnya melibatkan semua bas termasuk bas ekspres dan bas pelancongan, khususnya bagi kenderaan baharu yang beroperasi di jalan raya.
Anthony memberitahu, penguatkuasaan SLD menjadi langkah utama kerajaan dalam memperkukuh keselamatan pengangkutan awam, khususnya bagi mengekang pemanduan berbahaya dan kemalangan maut melibatkan bas.
Selain kawalan kelajuan, beliau kata, kerajaan turut mempertingkat pemantauan pemandu menerusi pembangunan pangkalan data pemandu bas oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menurutnya, sistem itu membolehkan syarikat pengendali menyemak rekod pemandu termasuk sejarah kesalahan lalu lintas dan status lesen sebelum diambil bekerja.
Dalam perkembangan lain, Anthony memaklumkan kementerian sedang melaksanakan 'proof of concept' pemasangan sistem telematik pada bas bagi memantau corak dan sikap pemanduan pemandu secara masa nyata.
Katanya, sistem itu mampu merekodkan tahap keletihan, gaya pemanduan serta tahap berhemah pemandu melalui teknologi telematik dan kamera papan pemuka (dashcam).
"Walaupun telematik belum diwajibkan, kita menggalakkan syarikat pengendali memasangnya secara sukarela sebagai langkah tambahan keselamatan," katanya.
Dalam pada itu, Anthony memberitahu, kerajaan juga merancang memperkenalkan kursus defensive driving kepada pemandu bas sebagai sebahagian usaha meningkatkan profesionalisme dan keselamatan.
Jelasnya, ketika ini pemandu bas hanya memerlukan Lesen E dan PSV tanpa keperluan latihan ulangan sepanjang tempoh pemanduan mereka.
“Kita ingin perkenalkan sistem seperti juruterbang, di mana lesen perlu diperbaharui secara berkala dan pemandu mungkin perlu mengikuti kursus tambahan sekiranya mempunyai rekod tertentu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 wanita dilaporkan maut, manakala pemandu serta penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) cedera dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli dekat Gerik.
Anthony dalam sidang media pada 11 Jun 2025 berkata, dua kesalahan besar dikesan dilakukan syarikat pengendali bas termasuk memajak permit bas kepada pihak ketiga.
Dalam pada itu, laporan tersebut mendapati kemalangan berkenaan berpunca daripada gabungan kompleks faktor mekanikal, manusia, persekitaran dan organisasi.
Menurutnya, kegagalan sistem brek bas yang tercemar dan tidak seragam, digabungkan dengan pemanduan pada kelajuan melebihi had selamat menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan.