KUALA LUMPUR – Pelanggan yang telah melanggan insurans atau mempunyai penyakit sedia ada boleh beralih kepada Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT) tanpa perlu melalui proses penilaian baharu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi pelanggan baharu, proses tersebut masih dilaksanakan seperti biasa namun syarat kelayakan akan dilonggarkan bagi memastikan perlindungan insurans dapat meliputi lebih ramai individu.
Ujar beliau, perkara itu antara penambahbaikan yang dihuraikan dalam kertas putih yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
“Bagi mereka yang mempunyai penyakit sedia ada dan sudah dilindungi insurans melalui syarikat insurans atau pengendali takaful (ITO), mereka boleh beralih kepada pelan ini tanpa perlu melalui penilaian baharu.
“Ini bermakna tiada isu berkaitan penyakit sedia ada. Sementara itu, bagi pelanggan baharu, penilaian tetap dibuat, namun tahap kelulusan akan dilonggarkan bagi memastikan perlindungan dapat diperluaskan,” katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang bertanyakan mengenai sama ada MHIT meliputi kes pelanggan yang mempunyai penyakit sedia ada atau tidak.
Menurut Amir Hamzah, kerajaan dan industri insurans telah bekerjasama rapat bagi mewujudkan sistem yang diyakini mampu menerima sokongan meluas daripada masyarakat serta pengendali ITO sedia ada.
Kata beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) selaku agensi kawal selia industri turut berhasrat membuka penyertaan skim berkenaan kepada semua ITO, namun tertakluk kepada syarat kelayakan tertentu.
“Ia kerana kita kena memastikan ITO ada kelayakan dan boleh menanggung insurans, dibenarkan menggunakan produk asas ini,” ujar beliau.