KOTA KINABALU - Pegawai tentera yang tertembak Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi enam tahun lalu bersetuju bahawa beliau tersasar daripada sasaran yang terdiri daripada 'botol darah' atau botol berisi cecair merah dan plat pelindung badan.
Semasa prosiding di mahkamah, peguam Datuk Ansari Abdullah ketika pemeriksaan balas bertanya, adakah Leftenan Kolonel Razahar Rashid, 43, bersetuju bahawa beliau tersasar daripada sasarannya terhadap dua objek tersebut.
Bagaimanapun, Razahar yang merupakan saksi kedua defendan sebelum itu menegaskan bahawa berat dua plat pada vest Allahyarham dan kedudukan botol darah menyebabkan vest bergerak ke bawah, sekali gus menjadikan sasaran sebenar tidak terkena tembakan.
Razahar yang merupakan saksi kedua pihak pembelaan defendan, menjelaskan bahawa sebagai seorang penembak tepat, fokus beliau adalah kepada 'body frame', iaitu kawasan yang melindungi organ penting.
Saksi turut menyatakan bahawa vest yang dipakai Allahyarham tidak dijahit bagi menahan plat di tengah, menyebabkan plat jatuh ke bawah semasa demonstrasi.
Sementara itu, ketika pemeriksaan semula yang dikendalikan Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb, saksi diminta menjelaskan mengenai jawapannya yang bersetuju terhadap bahagian bawah vest juga dilindungi oleh dua botol darah yang merupakan sasaran.
"Saya keliru dengan soalan ini, titik sasaran saya adalah di bahagian body frame di mana kedudukan organ jantung berada," jelasnya.
Sebelum itu, prosiding pada Khamis ditangguhkan dan akan bersambung pada 11 hingga 13 Februari depan.
Pasukan pembelaan turut memaklumkan akan mengemukakan enam lagi saksi daripada pihaknya pada prosiding seterusnya.
Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Prosiding tersebut didengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Ansari bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan terdiri daripada Nur Ezdiani dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.
Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, pada 4 September 2019.