Barang kemas puluhan ribu jadi sasaran, wanita warga emas diseret peragut sejauh 10 meter

Iklan
Mangsa berusia 72 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan lanjut.

KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diseret hampir 10 meter di atas jalan selepas mempertahan barang kemas yang bernilai puluhan ribu daripada diragut oleh dua lelaki dalam kejadian di Kampung Paloh Rambai, Ketereh, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 72 tahun dipercayai sedang membakar sampah di halaman rumahnya sebelum didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, salah seorang suspek turun dari motosikal lalu meragut seutas rantai tangan di pergelangan kiri mangsa serta menarik rantai leher yang dipakainya.

Menurut beliau, mangsa sempat bergelut bagi mempertahankan diri, namun tindakan suspek menarik mangsa menyebabkan wanita itu terseret di atas jalan sejauh lebih kurang 10 meter.

Iklan

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan telah menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azmir memberitahu, kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi kejadian dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Iklan

Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama golongan warga emas agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling dan mengelakkan daripada memakai atau mempamerkan barangan berharga secara berlebihan bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah.

“Kerjasama orang awam amat diperlukan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.