Lelaki Malaysia luah rasa menyesal jadi rakyat Singapura

Iklan
Ilustrasi AI, penyesalan lelaki berkenaan kerana berasa beban yang berpanjangan setelah melepaskan kewarganegaraan Malaysia. Foto: Agensi

SINGAPURA – Seorang bekas rakyat Malaysia yang kini menjadi warganegara Singapura meluahkan rasa kesal terhadap keputusannya, selepas berasakan terpaksa bekerja sepanjang hayat akibat tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat di republik itu, lapor The Independent Singapore.

Memetik laporan itu, lelaki berkenaan yang kini bekerja sebagai pemandu kenderaan sewa persendirian (PHV) berkongsi luahan tersebut secara terbuka ketika berbual dengan seorang penumpang, yang kemudiannya menceritakan pengalaman itu di platform media sosial.

Iklan
Iklan

Perkongsian berkenaan walaupun telah dipadam, terus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Menurut pemandu itu, kos harian yang tinggi serta tempoh kerja yang panjang menyebabkan masa depan kewangannya terasa semakin sempit, walaupun telah memiliki taraf kewarganegaraan Singapura.

Iklan

Katanya, persaraan kini kelihatan sukar dicapai dan beliau telah menerima hakikat bahawa perlu bekerja selagi hayat dikandung badan.

Bagaimanapun, isterinya masih mengekalkan kewarganegaraan Malaysia, yang dianggap sebagai satu-satunya pilihan untuk kembali menetap di tanah air suatu hari nanti.

Iklan

Namun, dua anak mereka yang lahir di Singapura merupakan warganegara republik itu, sekali gus terikat dengan kewajipan Perkhidmatan Negara yang turut menambah tekanan dalam hidupnya.

Sehingga kini, lebih 97,000 rakyat Malaysia dilaporkan telah menukar kewarganegaraan kepada Singapura sejak 2015, termasuk lebih 6,000 orang setakat 2025.

Walaupun langkah tersebut sering dikaitkan dengan peluang ekonomi yang lebih baik, kisah ini menyingkap sisi lain realiti selepas keputusan besar dibuat.

Pemerhati menyifatkan kisah berkenaan sebagai peringatan bahawa kewarganegaraan tidak menjamin kesejahteraan hidup, sebaliknya, setiap pilihan membawa tanggungjawab dan kesan jangka panjang bukan sahaja kepada individu, malah kepada generasi seterusnya. – Agensi