COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan negatif kandungan dalam talian, lapor media tempatan pada Rabu dengan memetik seorang pegawai kanan, menurut Xinhua.
Timbalan Menteri Ekonomi Digital, Eranga Weeraratne berkata, perbincangan sedang dijalankan bagi meneliti kemungkinan mengenakan had penggunaan media sosial kepada pelajar dan golongan bawah umur berikutan peningkatan insiden yang dikaitkan dengan platform digital.
Menurutnya, keputusan sama ada untuk melaksanakan sekatan itu akan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi Massa atau Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, sebaik dasar dimuktamadkan, pihak berkuasa akan menyediakan sokongan teknikal yang diperlukan bagi pelaksanaannya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad, namun negara itu perlu menangani kerosakan terhadap pemikiran kanak-kanak bawah umur akibat kandungan media sosial.
Weeraratne turut menjelaskan bahawa syarikat media sosial boleh bekerjasama dengan penyedia telekomunikasi tempatan bagi menguatkuasakan kawalan, sambil menambah langkah serupa telah dilaksanakan di beberapa negara lain.
Menurutnya, keupayaan teknikal yang diperlukan sudah sedia ada dan boleh digunakan di Sri Lanka.
Beliau menegaskan, sebarang sekatan memerlukan dasar kerajaan yang rasmi serta pelan pelaksanaan yang menyeluruh sebelum dikuatkuasakan.
Di peringkat global, kerajaan-kerajaan semakin mengetatkan pemantauan akses media sosial kanak-kanak berikutan kebimbangan terhadap buli siber, pendedahan kepada kandungan berbahaya serta kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan remaja.
Australia menjadi contoh utama apabila larangan media sosial pertama di dunia ke atas kanak-kanak bawah umur berkuat kuasa pada Disember 2025. - Bernama