KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengalu-alukan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini digantung kembali beraksi.
Bagaimanapun, Munoz berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel akan diturunkan dalam kesebelasan utama bagi perlawanan Kumpulan B Kejohanan Kelab ASEAN 2025/2026 menentang Shan United FC dari Myanmar, esok.
Menurutnya, keputusan itu bergantung kepada penilaian keadaan keseluruhan pemain termasuk tahap kecergasan sebelum pemilihan akhir dibuat.
“Ini satu perkembangan positif buat kami dan kami sangat gembira dengan keputusan ini untuk para pemain.
“Kini kami perlu menilai situasi pasukan dan pemain hari ini, sama ada mereka boleh diturunkan atau hanya berada di bangku simpanan,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Xisco menyifatkan perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim esok sebagai penting walaupun Shan United kini berada di tangga tercorot kumpulan.
Beliau berkata, Harimau Selatan sedar keupayaan lawan terutama dari segi kepantasan ketika peralihan dan organisasi pertahanan, justeru tidak boleh memandang ringan perlawanan tersebut.
“Esok perlawanan yang sukar. Kami mahu memberikan yang terbaik kerana jika meraih tiga mata, kami hampir pasti mara ke peringkat seterusnya,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Shan United FC, Han Win Aung berkata pasukannya bersedia menentang JDT yang dianggap kelab terbaik di ASEAN, walaupun mereka sudah tidak berpeluang untuk layak ke pusingan seterusnya.
Katanya, pasukan akan berjuang habis-habisan dan bertahan sehingga wisel penamat.
“Kami akan melakukan yang terbaik dan cuba mendapatkan keputusan positif. Fokus kami adalah teknik, kerja berpasukan dan memanfaatkan peluang di atas padang,” katanya.
JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan B di belakang Nam Dinh dari Vietnam selepas mencatat dua kemenangan dan mengumpul tujuh mata setakat ini. - Bernama