Uji sistem jentera, LCS 1 mula belayar hari ini

Iklan
Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR - Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) yang pernah menimbulkan kontroversi ekoran terpalit dengan isu penyelewengan dan rasuah beberapa tahun lalu akan memulakan pelayaran atau 'first sea going' pada hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelayaran pertama LCS 1 KD Maharajalela itu untuk pengujian sistem jentera, janakuasa, sistem penghawa dingin dan 'propulsion system'.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia merupakan proses permulaan bagi memastikan Kapal LCS 1 berkeupayaan untuk berlayar di lautan.

"Persediaan platform dan peralatan juga sedang giat dilaksanakan untuk membolehkan percubaan di laut secara penuh dimulakan pada awal April 2026.

Iklan

"Berdasarkan maklum balas oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) yang dikemukakan kepada pasukan projek, jadual pentauliahan LCS 1 dipinda ke Disember 2026, manakala bagi LCS 2 pada Ogos tahun hadapan.

"Bagi kapal-kapal berikutnya pula, pentauliahan LCS 3 kekal pada Disember 2027, LCS 4 pada Ogos 2028 dan LCS 5 pada April 2029," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan status prestasi 'sea trial' LCS 1 dan sama ada kapal itu dapat ditauliahkan mengikut jadual seawal Ogos tahun ini.

Pada 25 Januari lalu, SPRM mengesahkan dua ketua pegawai eksekutif syarikat yang terlibat dalam projek tersebut ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

Difahamkan, penahanan itu dibuat selepas SPRM berjaya menemui petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal LCS yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal LCS tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan untuk menyerahkan kapal tersebut mengikut tempoh ditetapkan.

Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.

Dari segi kos, beliau memberitahu, nilai keseluruhan kontrak Projek LCS adalah sebanyak RM11.2 bilion untuk kelima-lima buah kapal.

"Perbelanjaan semasa berjumlah RM8.3 bilion atau lebih kurang 74 peratus daripada jumlah keseluruhan.

"Dalam memastikan ketelusan dan kawal selia yang berterusan, Kementerian Pertahanan telah mewujudkan pelbagai platform pemantauan seperti Project Management Review (PMR), Project Monitoring Committee (PMC) serta Jawatankuasa Teknikal yang bersidang secara berkala dengan penglibatan menyeluruh TLDM sebagai end-user dan pihak LUNAS," katanya.