Pendaftaran murid Tahun 1 tahun 2027 dibuka mulai 15 Februari ini

Iklan
Pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac depan. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Pendaftaran murid Tahun 1 bagi Kalendar Akademik Tahun 2027 akan dilaksanakan secara dalam talian bermula 15 Februari hingga 31 Mac depan.

Menerusi kenyataan pada Rabu, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan, pendaftaran itu dilaksanakan melalui Sistem Bersepadu Kementerian Pendidikan (MOEIS) iaitu https://idme.moe.gov.my.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendaftaran terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia kohort enam tahun yang lahir dalam tempoh 2 Januari hingga 31 Disember 2021 dan kohort tujuh tahun (lahir 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021).

"Ini selaras dengan keputusan kerajaan yang membuka peluang kepada kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun 1 bermula pada 2027 secara sukarela dan tanpa perlu menduduki ujian saringan," katanya.

Iklan

Ujar beliau, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk mendaftar akaun di Sistem Pengurusan IDentiti (idMe), mengemas kini maklumat peribadi dan mengemukakan permohonan menerusi MOEIS mengikut tempoh yang ditetapkan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

"Maklumat lanjut berkaitan perkara ini boleh dirujuk menerusi laman portal rasmi KPM, jabatan pendidikan negeri (JPN) atau pejabat pendidikan daerah (PPD).

Iklan

Inisiatif untuk menggalakkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1 adalah langkah progresif Kerajaan Madani bagi memastikan perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak serta memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan murid akan memasuki alam persekolahan Darjah 1 pada usia enam tahun bermula tahun depan secara sukarela.

Dalam ucapan Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035, Anwar berkata, pendidikan pra sekolah yang diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bermula pada usia lima tahun.