PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran kepada pemain industri pengangkutan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya setiap masa atau berdepan tindakan undang-undang yang tegas.
Menterinya, Anthony Loke menegaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk Op Perang Lebih Muatan bukanlah bersifat bermusim, sebaliknya akan terus dijalankan sepanjang tahun.
“Saya ingin mengingatkan semua bahawa aktiviti penguatkuasaan ini bukan bermusim, bukan juga secara berfasa. Operasi penguatkuasaan ini berjalan sepanjang masa. Ini merupakan tugas teras JPJ untuk menguatkuasakan undang-undang sepanjang tahun.
“Saya harap mesej ini dapat disampaikan dan diterima oleh semua pemain industri. Jangan lakukan kesalahan. Saya tahu di luar sana ada yang beranggapan apabila penguatkuasaan tamat, bolehlah ulang semula kesalahan sama,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan MOT di sini pada Rabu.
Anthony turut menyelar sikap segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan tanggapan bahawa penguatkuasaan hanya dijalankan dalam tempoh tertentu sebelum dilonggarkan.
“Saya harap mesej ini sampai kepada semua pemain industri. Jangan buat kesalahan,” ujarnya.
Menurut beliau, JPJ perlu memperhebat dan melipatgandakan operasi penguatkuasaan bagi memastikan misi menjadikan jalan raya lebih selamat dapat dilaksanakan secara berterusan.
Penguatkuasaan itu katanya, tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kenderaan berat semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pemandu mabuk, aktiviti mat rempit serta langkah keselamatan terhadap penunggang motosikal.
“Sama ada pemandu mabuk, mat rempit atau aspek keselamatan penunggang motosikal, semua ini mesti diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara konsisten,” tegas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony memaklumkan bahawa pengintegrasian data antara JPJ dan operator lebuh raya bakal memudahkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya menerusi penggunaan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).
Setakat ini, jelas beliau, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) telah memulakan perbincangan dengan MOT, memandangkan operator lebuh raya terbesar negara itu telah memulakan pelaksanaan teknologi berkenaan secara berperingkat sejak tahun lalu.
“Kita mahu mengintegrasikan sistem dengan JPJ supaya ia lebih berkesan, bukan sahaja untuk kutipan tetapi juga dari segi penguatkuasaan.
“Jika sistem yang digunakan oleh operator diintegrasikan dengan aplikasi MySikap, secara automatik JPJ akan dapat mengetahui sama ada sesuatu kenderaan itu mempunyai cukai jalan atau insurans yang sah, atau ia merupakan kenderaan klon berdasarkan maklumat dalam pangkalan data kami,” katanya.