KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melarang 'pembelian' RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan baharu ini disasarkan akan siap dan boleh berkuat kuasa pada 1 April 2026.
Menurutnya, ia diperkenalkan bagi memperkasa penguatkuasaan terhadap terhadap ketirisan subsidi petrol RON95.
"Di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, larangan hanya terhad kepada 'penjualan' petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing.
"Maksudnya, larangan hanya kepada penjualan yang akan menyebabkan tindakan hanya akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak, tetapi tidak kepada pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.
"Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak iaitu stesen minyak dan juga pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing," katanya pada Waktu Pertanyaan bagi Jawap Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berkenaan langkah komprehensif kerajaan bagi menjamin keberkesanan pengurusan subsidi petrol selepas pelaksanaan Budi Madani RON95 serta membanteras penyeludupan petrol di sempadan Tawau-Indonesia.
Tambah beliau, pelaksanaan program subsidi bersasar Budi Madani RON95 berada di bawah seliaan Kementerian Kewangan sebagai peneraju dasar, manakala kementeriannya bertanggungjawab mengawal selia pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan penguatkuasaan di peringkat runcit.
"Selaras dengan pelaksanaan penuh Budi RON95 pada 30 September 2025, mekanisme penggunaan MyKad diperkenalkan bagi memastikan hanya warganegara layak berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
"Pendekatan ini bertujuan memastikan subsidi dinikmati golongan sasar serta mengekang ketirisan termasuk aktiviti penyeludupan bahan api di kawasan sempadan," ujarnya.