BUTTERWORTH - Dua lelaki yang terbabit dalam kejadian rompakan bersenjata di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Mertajam pada 13 Januari lalu didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu.
Tertuduh, Azli Ismadi Mat Saad, 32, dan P Sanjay Kumar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama empat individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjata pisau terhadap Mohamad Roshid Bosi Rahmat dan melarikan seutas rantai emas, sebuah telefon bimbit jenama Realme GT dan wang tunai RM3,000 milik mangsa.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10.30 pagi dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 397 boleh dikenakan sebatan selain apa-apa hukuman yang boleh dikenakan mengikut mana-mana seksyen lain kanun ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadhirah Abdul Rahim manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding Nadhirah tidak menawarkan sebarang jaminan.
Manakala dalam mitigasi rayuan, Azli Ismadi mohon mahkamah memberikan jaminan minima manakala Sanjay Kumar mohon jaminan atas alasan perlu menanggung tiga orang anak dengan pendapatan RM2,500 sebulan sebagai pemandu lori.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Februari depan sebagai sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan susulan penahanan dua lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, tangkapan itu dibuat susulan kejadian samun berkumpulan yang berlaku di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Tengah pada 13 Januari kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka menaiki sebuah kenderaan jenis Proton X70 telah berhenti di hadapan rumahnya.
"Lima suspek kemudiannya masuk ke rumah mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen sebelum menggeledah kediaman tersebut.
"Suspek turut mengacukan sebilah parang dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian sekitar RM4,000,” katanya.