3 ahli geng 'Kapten Praba' dikawal ketat polis, dibawa ke IPD Sepang

Iklan
Polis mengawal ketat tiga individu dikehendaki selepas tiba di KLIA sebelum dibawa ke IPD Sepang pada Rabu.

SEPANG - Tiga penjenayah geng 'Kapten Praba' yang ditahan di Mumbai, India baru-baru ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini untuk proses dokumentasi di sini pada Rabu.

Difahamkan, proses dokumentasi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu tiba di IPD Sepang kira-kira jam 8.30 pagi.

"Dokumentasi mengambil masa beberapa jam sebelum ketiga-tiga mereka dibawa ke Mahkamah Sepang untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu, media melaporkan tiga Penjenayah dikehendaki yang juga suspek utama 'Ops Jack Sparrow' yang ditahan di Mumbai, India, Ahad lalu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi Rabu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanakan prosedur kawalan ketat sebelum diiringi ke IPD Sepang.

Iklan

Ketiga-tiga mereka yang juga orang kanan geng 'Kapten Praba' diterbangkan dengan pesawat komersil diiringi kawalan ketat pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman.

Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) Mumbai, sekitar jam 1 pagi (waktu tempatan).

Terdahulu, ketiga-tiga penjenayah itu ditahan oleh pasukan keselamatan di CSMIA, pada Ahad lalu, selepas bertindak ganas sebaik tiba di Mumbai.

Mereka bertindak sedemikian selepas diusir dari United Kingdom (UK) apabila pegawai imigresen di Lapangan Terbang Manchester, yang sudah dimaklumkan mengenai status ketiga-tiga individu itu sebagai 'penjenayah berprofil tinggi', menolak kemasukan mereka.

Memandangkan mereka tiba melalui penerbangan dari Mumbai, protokol antarabangsa menetapkan penjenayah terbabit perlu dihantar semula ke lokasi berlepas terakhir.

Apabila penerbangan dari Manchester mendarat di Mumbai, ketiga-tiga lelaki itu menyedari mereka terperangkap, sekali gus bertindak ganas bagi mengelak ditahan.

Tindakan 'nekad' ketiga-tiga mereka menyerang anggota keselamatan di Mumbai disebabkan keadaan terdesak yang dihadapi, didorong tekanan hebat yang menanti mereka sekiranya ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa di Malaysia.

Mereka dikenal pasti sebagai individu utama yang menjadi sasaran 'Ops Jack Sparrow', operasi besar-besaran yang dilancarkan PDRM sebelum ini.