PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasrat menghantar pegawai ke United Arab Emirates Accountability Authority (UAEAA) bagi mendalami kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) termasuk aplikasi teknologi dalam analisis kewangan dan siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu dicapai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan UAEAA dalam usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah.
Menurutnya, kerjasama itu dijangka menyumbang kepada pengukuhan keupayaan agensi kedua-dua pihak dalam menangani isu tadbir urus.
"Selain itu dapat meningkatkan integriti sektor awam serta menyokong agenda pembangunan mampan di peringkat nasional dan antarabangsa.
"SPRM juga bersedia menawarkan bantuan dan kerjasama kepada UAEAA dalam apa jua bidang diperlukan termasuk aspek penguatkuasaan, perisikan dan pencegahan rasuah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum itu, majlis menandatangani MoU antara SPRM dan UAEAA dimeterai oleh Azam serta Pengerusi UAEAA, Humaid Abushibs di Abu Dhabi pada Ahad lepas.
Majlis juga disaksikan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran serta amalan terbaik dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah, selaras dengan standard dan amalan antarabangsa.
UAEAA merupakan badan tertinggi akauntabiliti dan ketelusan di UAE yang melapor secara langsung kepada kepimpinan tertinggi negara dengan peranan utama untuk melindungi dana awam serta meningkatkan tahap akauntabiliti melalui dua sektor utama iaitu sektor pencegahan rasuah dan sektor audit.