Bendasing disyaki cebisan tikus ditemui dalam sos spageti, suri rumah kecewa maklum balas KKM

Iklan
Aduan yang dibuat Rohaniza kepada pihak KKM setelah menemui bendasing di dalam sos yang dibelinya di sebuah pasar raya.

PUTRAJAYA – Hasrat seorang suri rumah untuk menyediakan sarapan kepada anak-anaknya terbantut selepas menemui bendasing dipercayai cebisan tikus di dalam sos spageti keluaran sebuah jenama terkenal.

Bercakap kepada Sinar Harian, Rohaniza Nawawi berkata, sos berkenaan dibeli dalam kemasan tin di sebuah pasar raya runcit terkenal berhampiran kediamannya di Kedah, kira-kira tiga minggu lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bendasing itu disedari ketika beliau sedang mengaut sos tersebut untuk dimasukkan ke dalam mangkuk.

“Saya memasak sos itu seperti biasa sebelum ternampak cebisan bendasing berambut dan berisi di dalamnya,” katanya.

Iklan

Jelas ibu kepada enam anak itu, meskipun anak-anaknya tidak sempat menjamah makanan berkenaan, beliau mengalami simptom loya dan muntah kira-kira lima minit selepas merasa sedikit sos tersebut.

“Saya tidak mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, sebaliknya mengambil ubat herba tradisional dan keadaan saya pulih tidak lama kemudian,” ujarnya.

Iklan

Susulan kejadian itu, Rohaniza berkata, beliau telah membuat laporan rasmi kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengemukakan maklumat serta bukti berkaitan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa menerima maklum balas bahawa aduan tersebut berada di luar bidang kuasa PKKM.

Menurutnya, penjelasan itu menimbulkan rasa kecewa kerana isu melibatkan kebersihan makanan sepatutnya diberi perhatian serius.

“Saya mempersoalkan tahap kebersihan kilang syarikat yang beralamat di Petaling Jaya itu dan berharap siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, alasan yang diberikan seolah-olah mengetepikan hak dan keselamatan pengguna.

“Keadilan kepada pengguna seakan dipandang ringan, sedangkan isu ini melibatkan risiko kesihatan,” jelasnya.