Kompleks Darul Hanan bakal dibangunkan, sasar siap menjelang 2030

Iklan
Mohamad (kanan) mengiringi Ramli menziarahi penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan.

KEPALA BATAS - Pembinaan Projek Rumah Warga Emas Mandiri yang dirintis di Pulau Pinang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sebuah Kompleks Darul Hanan berskala besar, merangkumi perumahan warga emas, pusat jagaan serta kompleks perniagaan bagi menyokong kelestarian komuniti setempat.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, projek itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2026 bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pulau Pinang dipilih sebagai negeri perintis dengan projek pembangunan Rumah Warga Emas Mandiri di atas tanah seluas kira-kira 4.05 hektar melibatkan peruntukan RM35 juta.

"Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai dan projek ini dijangka bermula tahun ini serta siap dalam tempoh tiga tahun.

Iklan

"Kita menyasarkan sebanyak 290 unit rumah warga emas mandiri dapat dibangunkan menjelang 2030 dan terbuka kepada golongan yang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ziarah Kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noor’a Ashikin Raja Abdullah di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan di sini pada Isnin.

Iklan

Ramli menanam pokok sebagai simbolik lawatannya ke Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, pada Isnin.

Majlis berkenaan turut dihadiri Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman; Pengerusi Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Dr Roslan Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Muhammad Kairi Ghazali.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, MAINPP turut meluluskan pengambilan tambahan tanah seluas kira-kira 1.21 hektar yang akan dibangunkan sebagai pusat sehenti merangkumi pusat perniagaan, rumah kedai dan stesen minyak.

Beliau berkata, proses pengambilan tanah itu akan dilaksanakan melalui Pejabat Tanah dan kerajaan negeri dan disasarkan selesai dalam tempoh enam bulan tahun ini, sebelum pembangunan bermula pada 2027.

Katanya, keseluruhan pembangunan berkenaan akan membentuk Kompleks Darul Hanan 1 dan Darul Hanan 2 dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta sebuah pusat perniagaan menjelang 2030, selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030.

Ramli (dua dari kanan) meninjau bilik fisioterapi di Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan pada Isnin

Mengimbau mengenai sejarah penubuhan Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan, Mohamad berkata, pusat itu mula dibina pada 2005 dengan kos RM13 juta hasil pembiayaan Yayasan Al-Bukhari dan siap sepenuhnya pada 2008 sebelum beroperasi pada 1 Februari 2010.

“Pada awal pembukaan penghuni hanya seramai 32 orang dan kini meningkat kepada 114 orang.

"MAINPP melalui Zakat MAINPP memperuntukkan kira-kira RM3 juta setahun bagi memastikan kebajikan, keperluan harian serta kesejahteraan warga emas Islam khususnya golongan asnaf yang tiada waris sentiasa terpelihara.

"Bagaimanapun, seiring dengan keperluan semasa dan pertambahan penghuni peruntukan tahunan kepada Darul Hanan MAINPP bagi tahun 2026 turut ditingkatkan kepada lebih RM5 juta sekali gus mencerminkan kesungguhan MAINPP dalam memastikan kesejahteraan warga emas Islam di negeri ini terus terjamin," katanya.