BEIJING – Jeneral tertinggi tentera China, Zhang Youxia, dilaporkan sedang disiasat kerana didakwa membocorkan maklumat berkaitan program senjata nuklear negara itu kepada Amerika Syarikat (AS), susulan pembersihan besar-besaran pegawai tentera oleh Presiden Xi Jinping.
Kementerian Pertahanan China pada Sabtu mengumumkan siasatan terhadap Youxia, 75, yang merupakan salah seorang timbalan ketua Suruhanjaya Tentera Pusat (Central Military Commission), atas pelanggaran disiplin dan undang-undang yang serius, namun butiran lanjut tidak didedahkan.
Menurut sumber yang hadir dalam taklimat tertutup pegawai tentera kanan China, Youxia didakwa mendedahkan maklumat teknikal penting tentang senjata nuklear China kepada Washington.
Beliau juga disiasat atas dakwaan cuba membina kumpulan pengaruh sendiri dalam suruhanjaya tentera, yang boleh menimbulkan perpecahan dalam organisasi itu.
Selain beliau, Gu Jun, bekas pengurus besar China National Nuclear Corp. – syarikat milik negara yang mengurus program nuklear – turut memberikan bukti terhadap jeneral terbabit dan kini sedang disiasat atas kesalahan parti.
Jurucakap Kedutaan China di Washington berkata, siasatan ini menunjukkan kepimpinan Parti Komunis China (CPC) mengamalkan pendekatan tanpa kompromi terhadap rasuah.
Analisis pemerhati menekankan bahawa pembersihan ini bertujuan memperbaiki ketenteraan dan memastikan kesetiaan mutlak kepada Presiden Xi, yang juga mengetuai suruhanjaya tentera itu.
Sejak Xi memegang kuasa pada 2012, lebih 200,000 pegawai telah dikenakan tindakan disiplin dalam operasi anti-rasuah.
Selain Youxia, ahli lain suruhanjaya, Liu Zhenli, ketua staf Jabatan Staf Bersama Suruhanjaya, juga disiasat.
Sebelumnya, timbalan ketua suruhanjaya yang lain, He Weidong, telah dipecat pada Oktober 2025 dan diganti dengan Zhang Shengmin.
Youxia menyertai Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) pada 1968 dan berpangkat jeneral dalam pasukan darat.
Kes ini muncul ketika pentadbiran Trump mengeluarkan Strategi Pertahanan Nasional baharu, menegaskan China perlu dihalang daripada menguasai AS atau sekutunya, tanpa memerlukan perubahan rejim.-Agensi