Keputusan tidak laksana ujian diagnostik tepat, elak sistem kasta pendidikan usia muda - Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik bagi kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu dapat mengelakkan kewujudan sistem kasta pendidikan dalam kalangan kanak-kanak pada usia yang terlalu muda.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudi menerima cadangan berhubung isu ujian diagnostik terbabit.

Iklan
Iklan

“Cadangan saya di Parlimen diterima oleh YAB PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Terima kasih. Tiada lagi ujian kemasukan, kelayakan atau diagnostik bagi anak-anak berusia enam tahun yang mahu memasuki Darjah Satu.

“Tiada lagi sistem kasta pendidikan pada usia yang terlalu muda. Saya membangkang dengan solusi kerana cintakan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas bagi kemasukan ke Darjah Satu bagi murid berusia enam tahun bagi mengelakkan bebanan, selain mempermudah pelaksanaan sistem pendidikan.

Ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MPQT) di Dewan Rakyat, Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, di samping memberi keutamaan kepada pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid melalui peranan guru dan ibu bapa.

Iklan

Syed Saddiq menambah, perkara yang baik akan disokong manakala yang kurang baik akan diperbaiki demi kepentingan negara.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan cadangan membenarkan kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu sebagai langkah yang baik dari sudut prinsip dan selari dengan piawaian antarabangsa.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, masalah timbul apabila dasar tersebut disusuli pengumuman tambahan yang mewajibkan kanak-kanak lulus ujian kelayakan sebelum boleh memasuki Darjah Satu pada usia enam tahun.

“Masalah timbul selepas 24 jam apabila terdapat pengumuman tambahan bahawa walaupun ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka ke Darjah Satu pada usia enam tahun, anak-anak tetap perlu lulus ujian kelayakan sebelum memasuki Darjah Satu,” jelasnya.

Beliau bimbang keperluan ujian kelayakan sebelum kemasukan ke Darjah Satu berpotensi menyingkirkan kanak-kanak daripada sistem persekolahan selama setahun, selain memberi kesan psikologi negatif.

“Jadi cadangan Muar mudah. Dasar ini adalah dasar yang baik. Kemasukan Darjah Satu pada usia enam tahun wajar dilaksanakan, cuma perlu diperhalusi keperluan untuk ujian diagnostik atau ujian kelayakan. Itu sahaja,” ujarnya.