RM34 juta wang scam diselamatkan, RM6.7 juta dipulangkan kepada mangsa

Iklan
Saifuddin Nasution ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto: Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM34 juta wang hasil penipuan atau scam berjaya diselamatkan dengan RM6.7 juta dipulangkan kepada mangsa tahun lalu berbanding RM508,479 pada tahun sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peningkatan prestasi wang yang diselamatkan itu hasil pengoperasian 24 jam Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang beroperasi 24 jam berbanding hanya waktu pejabat sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Wang yang kita selamatkan menggunakan Subseksyen 424A, B dan C, Kanun Keseksaaan dan wang ini dia tak berpindah secara berlapis.

"Secara keseluruhannya, mengikut data yang kita kumpul daripada aduan mangsa, kita merekodkan sejumlah RM542 juta kerugian daripada aktiviti scam ini sepanjang tahun lepas," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah mangsa scam yang berjaya mendapat balik duit pada tahun 2024 hingga 2025.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution memaklumkan, berdasarkan profil kes penipuan yang direkodkan kementerian, golongan pekerja swasta, kakitangan awam, pesara, pelajar dan ahli perniagaan merupakan antara yang paling ramai menjadi mangsa.

Iklan

"Profil ini membantu kita memahami jenayah atas talian di bawah kategori kewangan

seperti love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud dan jenayah telekomunikasi supaya kecekapan penyiasatan dapat dipertingkatkan.

"Selain itu, kita sedang menggabungkan keupayaan semua agensi, bukan sahaja jenayah komersial Bukit Aman, tetapi juga MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan agensi berkaitan," ujarnya.