Kanak-kanak maut leher terkelar tali layang-layang

Iklan

HYDERABAD – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut akibat lehernya terkelar selepas terjerut tali layang-layang jenis manja China (benang nilon/sintetik) yang diharamkan dalam kejadian di Kukatpally, Telangana pada Isnin.

Memetik laporan NDTV, mangsa, P Nishvikaditya ketika itu membonceng motosikal bersama bapanya dan seorang ahli keluarga sebelum tiba-tiba menjerit kesakitan sebaik melalui kawasan Vivekananda Nagar.

Iklan
Iklan

Bapanya yang panik segera berhenti dan mendapati leher anaknya berlumuran darah akibat terjerut tali layang-layang berbahaya itu.

Sementara itu, The Times Of India melaporkan Ketua Polis ACP Balanagar, P Naresh Reddy berkata, siasatan awal mendapati mangsa duduk di hadapan bapanya yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

Iklan

“Ketika melalui kawasan Vivekananda Nagar kira-kira jam 4.45 petang, mangsa tiba-tiba menjerit kesakitan sebelum bapanya berhenti dan mendapati leher anaknya berdarah,” katanya.

Ini merupakan kes kedua maut membabitkan tali ‘manja’ China di Telangana tahun ini. Foto: NDTV

Iklan

Menurutnya, mereka segera menanggalkan tali berbahaya itu dan membawa mangsa ke sebuah hospital swasta di Kukatpally.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama selepas menerima rawatan.

Menurut polis, tali layang-layang itu tersangkut pada leher mangsa hingga menyebabkan luka dalam dan pendarahan serius sebelum kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal.

Tali tersebut dipercayai terbang dari kawasan sekitar atau tersangkut pada kenderaan berat sebelum terkena mangsa yang kebetulan melalui lokasi.

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 106(1) Bharatiya Nyaya Sanhita (kematian akibat kecuaian) manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Gandhi untuk bedah siasat.

Ini merupakan kes kedua maut membabitkan tali ‘manja’ China di Telangana tahun ini.

Pada 14 Januari lalu, seorang pekerja migran berusia 38 tahun dari Uttar Pradesh dilaporkan maut selepas lehernya terjerut tali sama ketika menunggang motosikal di daerah Sangareddy.

Pihak berkuasa memaklumkan ramai mangsa cedera akibat tali berbahaya itu sejak awal tahun ini meskipun ia telah diharamkan dan pelbagai tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.