Wanita suntik isteri bekas kekasih dengan darah dijangkiti HIV kerana dendam

Iklan
Wanita di Andhra Pradesh, India, didakwa menyuntik darah HIV sebagai dendam terhadap isteri bekas kekasihnya. Foto hiasan

NEW DELHI - Seorang wanita di daerah Kurnool, Andhra Pradesh, India, didakwa bertindak kejam apabila menyuntik darah yang dijangkiti HIV ke dalam tubuh isteri bekas kekasihnya dipercayai bermotifkan dendam dan usaha memusnahkan rumah tangga pasangan berkenaan.

Polis mengesahkan empat individu telah ditahan setakat ini, termasuk suspek utama, B Boya Vasundhara, 34, seorang penduduk Kurnool.

Iklan
Iklan

Turut ditahan ialah Konge Jyothi, 40, seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Adoni, serta dua anaknya yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an. Kesemua mereka ditahan pada 24 Januari lalu.

Menurut siasatan, mangsa merupakan seorang doktor dan pensyarah kanan di sebuah kolej perubatan swasta di Kurnool, selain isteri kepada bekas kekasih Vasundhara.

Iklan

Pihak polis memaklumkan suspek gagal menerima hakikat bahawa lelaki tersebut telah berkahwin dengan wanita lain, lalu merancang satu komplot untuk memisahkan pasangan itu.

Seorang pegawai polis berkata, kumpulan terbabit merancang serangan dengan mencipta kemalangan jalan raya palsu.

Iklan

Pada 9 Januari lalu, kira-kira jam 2.30 petang waktu tempatan, mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki skuter selepas keluar makan tengah hari apabila dua individu yang menaiki motosikal sengaja melanggarnya berhampiran Terusan KC di Vinayak Ghat.

Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan. Suspek kemudiannya mendekati mangsa dengan berpura-pura menawarkan bantuan.

Ketika cuba membawa mangsa menaiki sebuah autorikshaw, Vasundhara didakwa menyuntik darah yang mengandungi virus HIV sebelum melarikan diri apabila mangsa menjerit meminta pertolongan.

Siasatan lanjut mendapati darah yang dijangkiti HIV itu diperoleh secara tidak sah daripada pesakit yang sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan.

Para suspek didakwa memperdaya pihak hospital dengan mendakwa sampel darah berkenaan diperlukan bagi tujuan penyelidikan.

Seorang pegawai penyiasat berkata, suspek utama turut mendakwa darah berkenaan disimpan di dalam peti sejuk sebelum digunakan dalam serangan tersebut.

Bagaimanapun, polis menenangkan kebimbangan orang ramai dengan menjelaskan bahawa virus HIV tidak dapat bertahan lama di luar tubuh manusia, termasuk ketika disimpan dalam suhu rendah, dan risiko jangkitan adalah sangat rendah.

“Malah, kebimbangan utama hanyalah kemungkinan kemasukan bendasing ke dalam tubuh mangsa,” katanya.

Mangsa telah menerima rawatan perubatan segera dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Polis berkata, sebagai seorang doktor, mangsa memahami prosedur ujian serta rawatan yang perlu dijalani dan telah dinasihatkan oleh rakan sekerja untuk menjalani pemeriksaan susulan selepas tempoh tiga minggu bagi memantau sebarang kemungkinan jangkitan.

Suami mangsa, yang juga seorang doktor, telah membuat laporan polis di Balai Polis Kurnool III Town pada 10 Januari lalu.

Kes kini disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah peruntukan undang-undang Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).

Polis memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan menahan individu lain yang dipercayai terlibat dalam merancang serangan tersebut. - Agensi