Abam Botak kongsi kesedihan ditanggung golongan daif

Iklan
Status Abam Botak di Facebook mengundang sebak netizen.

SANDAKAN - Seorang lelaki berkongsi kesedihan ditanggung golongan daif dan kurang berkemampuan yang memohon bantuan bekalan makanan untuk meneruskan hidup berikutan berdepan masalah kewangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan ekoran wabak koronavirus (Covid-19).

Yunizam Yusop atau lebih dikenali Abam Botak berkongsi empat daripada 600 mesej daripada individu tidak dikenali yang memohon bantuan daripadanya melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan
Iklan

"(Itu) Belum lagi yang hubungi merayu. Belum lagi 'private message' (PM) di laman Facebook. ALLAHU.

"Setiap kali membaca, setiap kali itulah juga air mata Abam mengalir," tulisnya yang menarik perhatian ramai.

Iklan

Antara kandungan mesej dari aplikasi WhatsApp yang dikongsinya melibatkan aduan seperti kehabisan susu anak, lampin pakai buang dan makanan harian.

Abam Botak yang terkenal dengan aktiviti kebajikan menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada orang ramai mengakui, dia tidak mampu untuk membantu semua pemohon bantuan.

Iklan
Abam Botak berkongsi nombor akaun bagi mereka yang mahu menyumbang bantuan kepada golongan memerlukan.

"Abam tak mampu membantu semuanya. Kemampuan Abam Botak pun terbatas. Demi Tuhan, kalaulah Abam punya upaya dan kelebihan, pasti semuanya Abam bantu.

"Abam hanya mampu mendoakan agar sengsara ini segeralah pergi dari kita semua," katanya.

Dia juga berdoa agar masyarakat dipermudahkan rezeki dalam menghadapi bencana akibat wabak Covid-19 ini.

"Sekali lagi Abam Botak minta maaf. Dengan sebenar-benarnya maaf. Semoga kita semua dirahmati Tuhan. Amin," katanya.

Dalam pada itu, netizen turut mendoakan Abam Botak dikurniakan kemudahan untuk membantu golongan memerlukan.

"Semoga ALLAH memberikan kemudahan untuk Abam Botak membantu golongan yang memerlukan. Insya-ALLAH, niat yang baik, pasti ALLAH bantu," kata Sukmawati Abbas.

Ujar Sutra Ixora,"Semoga dipermudahkan. Kita bukan sahaja diuji dengan wabak tapi diuji dari segi kemanusiaan. Berat mata memandang lagi berat bahu yang memikul. Semoga ada insan berkemampuan datang membantu."