SEED 2030: Selangor kukuh sekuriti makanan, sasar lonjak pengeluaran, pasaran global

Iklan
Amirudin ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran SEED 2030 - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

KERAJAAN Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030) bagi memperkukuh sekuriti makanan negeri dan menjamin akses makanan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelan strategik lima tahun itu merangkumi sasaran menyeluruh melibatkan sektor perladangan, ternakan, tenusu, peruncitan dan pasaran antarabangsa.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengeluaran kelapa sawit disasarkan meningkat 64.9 peratus kepada 735,000 tan metrik berbanding 445,000 tan metrik bagi tempoh 2021 hingga 2025.

“Sektor ternakan ayam pula disasarkan mencapai 20.1 juta ekor, berbanding 6.31 juta ekor dalam tempoh sama sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran SEED 2030 di sini pada Isnin.

Iklan

Amirudin (dua dari kiri) diiringi Mohamad Khairil (dua dari kanan) menyempurnakan majlis pelancaran SEED2030 di Shah Alam pada Isnin - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

Amirudin turut memaklumkan projek Ehsan Dairy Farm di Bukit Tagar akan memulakan operasi rasmi pada Mac depan, dengan sasaran pengeluaran sehingga 32,850 liter susu.

Iklan

Jelasnya, Selangor Food Valley (SFV) pula disasarkan mencatat peningkatan pengunjung sebanyak 22 peratus kepada 500,000 orang, berbanding sekitar 400,000 pengunjung ketika ini.

“Dalam sektor peruncitan, rangkaian Produk Ehsan akan diperluaskan kepada 98 hingga 100 unit SKU bagi menembusi pasaran Timur Tengah dan Eropah.

“Jualan Produk Ehsan bagi tempoh 2022 hingga 2024 merekodkan nilai kira-kira RM204.8 juta, dengan sasaran melebihi RM1.54 bilion menjelang 2030,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, SEED 2030 bukan sekadar pelan korporat, sebaliknya komitmen jangka panjang membina sistem makanan negeri yang berdaya tahan.

Beliau berkata, pelan itu dibangunkan berasaskan pengalaman PKPS sepanjang 2021 hingga 2025, termasuk pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Menurutnya, PKPS kini membangunkan Gudang Makanan Selangor (GMS) sebagai rizab makanan strategik negeri pertama di Malaysia.

“Ketika ini, GMS menyediakan kapasiti simpanan 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging, dengan perancangan meningkatkan daya tahan bekalan sehingga enam bulan dalam tempoh lima tahun,” tambahnya.

SEED 2030 digerakkan melalui lima teras strategik, disokong oleh empat anak syarikat utama PKPS serta penggunaan automasi, analitik data dan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Pada masa sama, PKPS mengurus hampir 1,000 hektar kawasan SFV dan lebih 5,000 hektar ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Pengeluaran sawit disasarkan mencecah 735,000 tan menjelang 2030 tanpa peluasan kawasan tanaman, dengan hasil dilaburkan semula bagi inisiatif sekuriti makanan.

Dalam perkembangan lain, rangkaian Ehsan Mart disasarkan berkembang daripada 16 kepada 200 cawangan.

Lebih 40 barangan keperluan asas turut disubsidi melalui Jualan Ehsan Rahmah Madani di hampir 3,800 lokasi, memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Di peringkat antarabangsa, produk Ehsan menembusi pasaran Australia pada penghujung 2025 dan disasarkan berkembang ke Timur Tengah serta Eropah.

SEED 2030 selari dengan Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) bagi memperkukuh daya tahan serta kebajikan rakyat Selangor.