GEORGE TOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba membuat tohmahan dan menyebarkan fitnah berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah seperti yang tular di media sosial.
Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, dakwaan, polemik dan fitnah yang ditularkan terutama mengaitkan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dalam isu berkenaan dilihat berniat jahat untuk menjejaskan imej institusi MAINPP.
Menurutnya, semua fakta berkaitan telah direkodkan secara rasmi dalam hansard Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
"Penjelasan berhubung perkara tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua MAINPP pada Persidangan DUN November 2025 bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Ustaz Yusni Mat Piah.
"MAINPP bertindak berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 yang memperuntukkan kuasa penuh kepada institusi ini dalam hal ehwal pentadbiran Islam, termasuk pengurusan sosial masyarakat Islam serta pentadbiran dan pengagihan zakat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin berkongsi kenyataan seorang penyelaras Peta, Azam Melaka berkaitan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.
Mengulas isu bantuan khas asnaf, Rosidi memaklumkan sejumlah RM178,368.60 telah diluluskan bagi menyelesaikan baki pinjaman perumahan seorang asnaf miskin yang berdepan masalah kesihatan kritikal seperti penyakit jantung dan strok.
Katanya, arwah turut mempunyai baki pencen ilat sebanyak RM178.97 selepas potongan hutang rumah, selain menanggung anak angkat yang menghidap penyakit buah pinggang dan telah menerima bantuan zakat bulanan sejak Ogos 2023.
"Kelulusan bantuan dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perumahan dan Fasiliti Zakat serta Mesyuarat Lembaga Pengarah Zakat yang melibatkan perbincangan menyeluruh oleh 14 ahli, termasuk Mufti Pulau Pinang.
"Pembayaran bantuan pula dibuat terus ke akaun pembiayaan atas nama isteri arwah," jelasnya.
Sementara itu, berhubung isu perolehan tanah, beliau memaklumkan proses cadangan penjualan telah bermula sejak 15 Januari 2021 dan melalui beberapa peringkat siasatan, penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta penelitian Jawatankuasa Pembangunan, Hal Ehwal Tanah dan Aset MAINPP.
Katanya, perolehan melibatkan Lot 240, 264 dan 265 Mukim 3, Seberang Perai Selatan seluas 14.6918 ekar dengan nilai RM9.86 juta, menggunakan dana wang tawafuq selaras garis panduan MAINPP.
"Tujuan pembelian adalah untuk memperkukuh pemilikan tanah umat Islam serta pembangunan manfaat asnaf. Transaksi dilakukan secara telus dan tidak melebihi nilai pasaran semasa.
"Keputusan fatwa sebelum ini juga telah diperincikan melalui perbincangan dalam Mesyuarat MAINPP, di mana wang tawafuq yang digunakan untuk pembangunan asnaf wajib diserahkan kepada MAINPP bagi urusan pembelian,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua ahli lembaga yang mempunyai kepentingan telah mengisytiharkan kepentingan masing-masing serta mengecualikan diri daripada sebarang keputusan.
Sehubungan itu, beliau menolak sekeras-kerasnya tohmahan terhadap Timbalan Ketua Menteri I selaku Yang Dipertua MAINPP dan menegaskan institusi tersebut tiada sebarang kepentingan dalam kedua-dua isu yang ditularkan.