PONTIAN – Tiada loji rawatan air (LRA) ditutup setakat ini susulan insiden pencemaran yang dilaporkan berlaku di Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi pada Ahad.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pencemaran tersebut dikesan sekitar jam 3.48 petang.
"Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pencemaran dipercayai berpunca daripada sebuah kilang sawit. Anggota Badan Kawal Selia Air Johor (BKAJ) akan turun memantau keadaan pencemaran yang berlaku.
“Setakat hari ini, tiada loji rawatan air ditutup dan bekalan air kepada pengguna masih berjalan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah dan Penyerahan Projek Siap peringkat daerah di Pontian Besar pada Isnin.
Pada Ahad, kejadian pencemaran Sungai Johor dilaporkan berlaku lagi, kira-kira tiga bulan selepas insiden sama sebelum ini menjejaskan bekalan air di sekitar Johor Bahru.
Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam berkata, nelayan mengesan perubahan warna air Ulu Sungai Johor menjadi kehitaman ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran jeti pada petang Ahad.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli menegaskan, kerajaan negeri memandang serius isu pencemaran sumber air mentah dan sedang merangka pelan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Jelas beliau, lima sungai utama yang merupakan sumber air mentah Johor iaitu Sungai Johor, Sungai Muar, Sungai Pontian, Sungai Endau dan Sungai Sedili akan digazetkan dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun usaha mewartakan sungai berdepan cabaran terutama di Sungai Johor berikutan pembangunan sedia ada yang telah bertapak di kawasan sungai.
“Oleh itu, kita sedang mendapatkan ulasan jabatan berkaitan bagi menetapkan perimeter, jarak zon perlindungan dan mengenal pasti potensi pencemaran sebelum penggazetan dilaksanakan,” jelasnya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperketatkan kawalan pembangunan baharu dengan mewajibkan penglibatan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta sokongan agensi teknikal lain.
"Sebagai langkah pencegahan awal, enam sistem telemetri telah dipasang di Sungai Johor dan enam lagi akan dipasang tahun ini di kawasan berhampiran loji rawatan air bagi mengesan pencemaran lebih awal.
“Kita faham kebimbangan rakyat, sebab itu pelan kecemasan melibatkan pelbagai agensi telah disediakan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya berlaku pencemaran,” katanya.
Terdahulu, Oktober tahun lalu, media melaporkan air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna kepada putih seakan susu dipercayai kerana tercemar.
Pencemaran berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Pencemaran yang berlaku turut menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dan turut menjejaskan 1.8 juta penduduk, atau lebih 455,757 pengguna akaun air di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi akibat pencemaran Sungai Johor.