KOTA TINGGI - Selepas kira-kira tiga bulan insiden pencemaran Sungai Johor berlaku sehingga menjelaskan bekalan air di kawasan Johor Bahru, kejadian sama kini dilaporkan berlaku.
Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam berkata, warna air Ulu Sungai Johor berubah kehitaman itu dikesan nelayan ketika menangkap ikan berhampiran kawasan jeti pada sebelah petang Ahad.
Jelas beliau, keadaan itu menimbulkan keresahan penduduk dan nelayan darat di kawasan terlibat.
“Perubahan warna air sungai itu disedari secara tiba-tiba dan dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang.
"Sampai bila perkara ini nak berlarutan? Sungai Johor sangat penting untuk rakyat Johor, bukan sahaja sebagai sumber air mentah, tetapi untuk kelangsungan hidup nelayan dan komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Azman turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak bertanggungjawab yang menjadi punca pencemaran, agar kejadian sama tidak terus berulang dan menjejaskan kesejahteraan penduduk.
Sebelum itu, pada Oktober tahun lalu, media melaporkan air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna kepada putih seakan susu dipercayai kerana tercemar.
Pencemaran berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Pencemaran yang berlaku turut menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dan turut menjejaskan 1.8 juta penduduk, atau lebih 455,757 pengguna akaun air di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi akibat pencemaran Sungai Johor.