Pemandu S70 mengaku tidak bersalah pandu melulu, sebabkan kematian tiga beranak

Iklan
Tertuduh (dua, kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim pada Isnin atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, bulan lalu.

KULIM - Seorang pekerja bahagian pemasaran di sebuah bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Proton S70 telah memandu kenderaan tersebut dengan cara melulu sehingga melanggar kereta Perodua Viva dan menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd Suroddin, 25, dan dua anaknya, Muhammad Aqeel Affan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 5 petang di Jalan Kulim-Mahang, 18 Januari lalu.

Iklan

Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM3,000 sebulan, menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia dua tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi serahan dokumen.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebelum ini, media melaporkan Proton S70 dipandu tertuduh dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva.

Akibat kejadian itu, mangsa dan dua anaknya yang dalam perjalanan untuk menjemput isteri di tempat kerja, meninggal dunia di lokasi kejadian.