Had umur 16 tahun media sosial dijangka dikuatkuasakan Julai - Nie Ching

Iklan
Nie Ching (dua, kanan) menyempurnakan gimik penyerahan Bantuan Awal Persekolahan kepada salah seorang penerima di SK Putra Utama pada Isnin.

KULAI - Kerajaan dijangka menguatkuasakan undang-undang berhubung pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial mulai Julai 2026, sebagai usaha melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelaksanaan itu kini berada dalam fasa regulatory sandbox bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah terbaik sebelum pelaksanaan penuh dibuat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah berkenaan adalah selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, OnSA) dan perbincangan dengan penyedia platform media sosial sudah dimulakan bagi mengenal pasti pendekatan paling berkesan.

“Di bawah OnSA, kami telah mulakan perbincangan dengan penyedia platform. Jadi sekarang ini kita dalam peringkat regulatory sandbox untuk kita cari cara yang paling baik, berkesan serta selamat untuk melakukan pengesahan had umur ini.

Iklan

"Buat masa ini kita dalam peringkat perbincangan dan perancangan bersama penyedia platform. Sasaran kita untuk laksanakan pada tahun ini iaitu pada suku ketiga atau keempat tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini," katanya.

Nie Ching berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini, pada Isnin.

Iklan

Sebagai rekod, kerajaan menyasarkan setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun bagi tujuan pembukaan akaun media sosial.

Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Kerajaan Madani melalui Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini, yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.

"Di Johor, seramai 586,153 murid menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87.9 juta. Untuk daerah Kulai sahaja, kami mempunyai 58,264 orang murid dengan sumbangan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM8.7 juta.

"Jadi, hari ini kita datang ke SK Putra Utama dan secara simbolik kita telah membuat serahan kepada ibu bapa terpilih,” katanya.