ISTILAH 'soul searching' (pencarian jiwa) mungkin kedengaran klise, seolah-olah sesuai untuk ceramah motivasi hujung minggu atau catatan refleksi di LinkedIn.
Tetapi bila istilah ini dibawa masuk ke gelanggang pembinaan kurikulum di sekolah dan universiti, ia tiba-tiba jadi tidak selesa.
Hal ini kerana konsep kerohanian tersebut menuntut kita berhenti sekejap, memandang cermin, dan bertanya soalan yang selama ini kita elak, untuk apa kita mendidik sebenarnya?
Kita sering bercakap tentang kurikulum seolah-olah ia mesin. Masuk silibus, keluar graduan. Tambah kemahiran, tingkat kebolehpasaran. Laraskan hasil pembelajaran, selaraskan dengan industri.
Ya, semua ini penting. Tetapi di tengah keghairahan itu, kita jarang bertanya sama ada kurikulum yang dibina masih punya 'jiwa' atau sekadar cekap berfungsi.
Kita terlalu sibuk memastikan penuntut lulus, hingga lupa memastikan mereka hidup dengan keupayaan berfikir, berasa, dan bertanggungjawab sebagai manusia.
Di peringkat sekolah, krisis ini bermula lebih awal daripada yang kita sangka.
Murid diasuh sejak kecil untuk percaya bahawa nilai diri mereka terletak pada angka dan gred.
Mereka diajar cara menjawab soalan, tetapi jarang diberi ruang untuk bertanya soalan yang betul.
Rasa ingin tahu dianggap gangguan, kesilapan dilihat kegagalan, dan empati sukar dinilai kerana tiada skema pemarkahan.
Kita kata mahu melahirkan insan seimbang, tetapi sistem menolak mereka ke arah satu dimensi bahawa setiap perkara yang dilakukan adalah akademik semata-mata. Di sinilah persoalan soul searching dibangkitkan, adakah sekolah masih tempat peperiksaan?
Masuk ke universiti, masalah ini tidak selesai. Ia cuma bertukar wajah. Universiti kini terperangkap antara idealisme akademik dan realiti pasaran.
Di satu sisi, kita bercakap tentang pemikiran kritikal, etika, dan kepimpinan. Di sisi lain, kita terikat dengan KPI, ranking, kebolehpasaran graduan, dan kehendak industri yang sentiasa berubah. Akhirnya, banyak kurikulum dibina dengan satu soalan dominan:"Apa yang laku?" dan bukan “Apa yang perlu?”.
Graduan kita mungkin cekap bekerja, tetapi kabur tentang makna kerja itu sendiri. Mereka tidak tahu untuk siapa, dengan nilai apa, dan dalam batas etika bagaimana mereka bekerja.
Di sinilah soul searching jadi tugas yang berat tetapi perlu. Tidak semua yang diminta pasaran wajar dituruti tanpa soal. Walaupun industri tahu apa yang mereka perlukan hari ini, tetapi pendidikan sepatutnya memikirkan masyarakat esok.
Jika universiti hanya melahirkan pekerja yang patuh dan cepat menyesuaikan diri, siapa pula yang akan melahirkan warga yang berani bersuara, menyoal ketidakadilan, dan mempertahankan nilai?
Peranan alumni dalam wacana ini sering dipandang ringan, sedangkan merekalah bukti hidup keberkesanan kurikulum.
Alumni bukan sekadar wajah kejayaan untuk bahan promosi, tetapi cermin jujur yang memantulkan jurang antara apa yang diajar dan apa yang dialami.
Mereka tahu bahagian mana kurikulum yang benar-benar membentuk mereka sebagai manusia dan bahagian mana yang sekadar lulus peperiksaan lalu dilupakan.
Jika 'soul searching' dilakukan dengan ikhlas, suara alumni perlu didengar bukan untuk menentukan silibus secara teknikal, tetapi untuk menjawab soalan yang lebih besar, adakah pendidikan itu membekalkan mereka kompas moral, atau hanya peta kerjaya?
Industri pula sering dilihat sebagai rakan strategik, tetapi hubungan ini perlu matang. Pendidikan tidak boleh menjadikan industri sebagai tuan dan industri juga tidak wajar melihat universiti sebagai kilang tenaga kerja semata-mata.
Peranan industri yang sihat adalah berdialog, berkongsi realiti lapangan, dan membuka ruang pembelajaran bermakna. Namun, garis perlu jelas. Universiti bertanggungjawab kepada masyarakat, bukan hanya pasaran.
Jika industri mahukan graduan yang boleh berfikir, universiti perlu memastikan mereka juga tahu bila perlu berkata 'tidak'.
'Soul searching' ialah keberanian kolektif dalam pembinaan kurikulum.
Tidak perlu malu untuk mengaku bahawa kita mungkin telah terlalu lama mengajar penuntut cara untuk hidup dalam sistem, tetapi kurang mengajar mereka cara memahami kehidupan itu sendiri.
Kita melatih mereka menjadi cekap, tetapi tidak semestinya bijaksana. Kita bangga dengan statistik kebolehpasaran, tetapi jarang bertanya tentang kematangan moral dan kepekaan sosial graduan.
Ini bukan seruan menolak industri, teknologi, atau keperluan ekonomi. Ia mengingatkan kita bahawa pendidikan tanpa jiwa hanya akan melahirkan manusia yang berfungsi, bukan manusia yang bererti.
Jika pembuat dasar dan penyedia kurikulum berani berhenti seketika, melakukan soul searching yang jujur, dan meletakkan kembali persoalan makna di tengah-tengah kurikulum, mungkin kita tidak sekadar melahirkan graduan yang boleh bekerja, tetapi manusia yang tahu mengapa dan untuk apa mereka bekerja.
* Dr Khairun Nizam Mohammad Yusuff ialah Pensyarah Kanan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA