Kerajaan peruntuk RM242 juta naik taraf sistem amaran awal cuaca

Iklan
Arthur Joseph Kurup ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan keseluruhan sebanyak RM242 juta bagi menaik taraf Sistem Amaran Awal Cuaca negara bagi memastikan makluman ancaman bencana dapat disampaikan secara pantas, tepat dan menyeluruh termasuk kepada komuniti di kawasan luar bandar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, peruntukan itu merangkumi pelaksanaan beberapa projek peningkatan sistem ramalan serta pembinaan radar cuaca.

Iklan
Iklan

“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sentiasa memperkukuh keberkesanan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi pembangunan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) berhubung keberkesanan sistem amaran awal dalam menyampaikan makluman ancaman bencana secara pantas dan menyeluruh terutamanya di kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Arthur memaklumkan, MET Malaysia juga terus memperkukuh keupayaan ramalan cuaca melalui penambahbaikan ‘Radar Integrated Nowcasting System’ (RaINS) yang mengintegrasikan rangkaian radar dan model ramalan berangka bagi menghasilkan unjuran pergerakan serta intensiti hujan secara hampir masa nyata.

Iklan

“Pada masa yang sama, sistem ‘Numerical Weather Prediction’ (NWP) turut dipertingkat dengan penggunaan teknologi ‘High Performance Computing’ (HPC) terkini serta penerapan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan analitik data raya.

“Pengukuhan ini membolehkan penjanaan ramalan cuaca sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi yang lebih tinggi, iaitu 300 meter berbanding satu kilometer sebelum ini. Keupayaan ini membolehkan perincian corak cuaca di kawasan berisiko tinggi dikenal pasti dengan lebih awal, tepat dan bersasar, termasuk di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Bagi memastikan penyampaian maklumat amaran yang pantas, tepat dan menyeluruh, khususnya kepada komuniti luar bandar dan kawasan berisiko, Arthur berkata, MET Malaysia terus memperkukuh sistem penyampaian maklumat melalui pelbagai saluran komunikasi termasuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS), aplikasi myCuaca, laman sesawang MET Malaysia, media sosial, siaran radio dan televisyen.

Menurutnya, MET Malaysia turut menjalin kerjasama strategik bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Seiring komitmen berterusan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara, bermula tahun 2026, MET Malaysia menyasarkan untuk mempercepatkan tempoh hebahan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami daripada lapan minit kepada enam minit selepas kejadian dikesan, di samping meningkatkan ketepatan ramalan cuaca daripada 82 peratus kepada 85 peratus.

“Seterusnya untuk usaha kesiapsiagaan dan tindak balas, MET Malaysia mengoperasikan sistem amaran awal secara berterusan 24 jam amaran tepat pada masanya serta penyelarasan berterusan dengan agensi pengurusan bencana peringkat negara dan juga negeri,” tambahnya.

Beliau menegasan, kesemua inisiatif berkenaan membuktikan bahawa MET Malaysia bukan sahaja mengukuhkan rangkaian pengesanan dan ramalan bencana cuaca, gempa bumi dan tsunami tetapi juga meningkatkan keberkesanan EWS dalam memberi makluman yang cepat, tepat, dan menyeluruh kepada seluruh rakyat Malaysia.