Pegawai kerajaan pura-pura sibuk selepas diterjah Bupati di pejabat

Iklan
Rakaman yang tular menunjukkan penjawat awam negeri mula bangun selepas mengetahui kehadiran Bupati Brebes, Paramitha Widya Kusuma. Foto: Agensi

JAKARTA - Sikap sebenar sebahagian pegawai kerajaan di Pejabat Kecamatan Jatibarang terbongkar apabila mereka didapati berpura-pura sibuk sebaik sahaja diterjah Bupati Brebes, Paramitha Widya Kusuma, dalam satu lawatan mengejut baru-baru ini.

Sebelum ketibaan bupati, beberapa penjawat awam negeri (ASN) dilihat duduk santai di hadapan pejabat, bermain telefon bimbit dan berbual sesama sendiri, tanpa sebarang urusan perkhidmatan yang jelas, walaupun masih dalam waktu bekerja.

Iklan
Iklan

Namun, suasana berubah secara mendadak sebaik kehadiran bupati disedari.

Pegawai terbabit segera bangun, masuk ke dalam pejabat dan bertindak seolah-olah sedang sibuk menjalankan tugas, sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai keikhlasan, disiplin dan etika kerja mereka sebagai penjawat awam.

Iklan

Lebih membimbangkan, hasil lawatan mengejut itu turut mendapati urusan perkhidmatan kepada masyarakat dikendalikan oleh pelajar latihan industri (PKL), manakala pegawai tetap gagal menunjukkan komitmen sewajarnya sebagai barisan hadapan perkhidmatan kerajaan.

Menurut pemerhatian di lokasi oleh media tempatan, pejabat kecamatan yang sepatutnya menjadi institusi utama rakyat mendapatkan perkhidmatan pentadbiran memperlihatkan budaya kerja sambil lewa, selain bergantung kepada kehadiran pemimpin untuk mencipta imej kononnya cekap dan produktif.

Iklan

Bupati Paramitha menyifatkan tindakan berpura-pura sibuk itu sebagai perilaku tidak berintegriti dan menegaskan bahawa kehadiran pemimpin bukan untuk ditakuti, sebaliknya bertujuan memastikan amanah kepada rakyat dilaksanakan dengan jujur dan konsisten.

Beliau mengarahkan penilaian segera dilakukan terhadap tahap disiplin kakitangan terlibat serta menuntut tindakan pembetulan dan penguatkuasaan lebih tegas, bagi mengelakkan budaya kerja kosmetik yang hanya wujud ketika pemeriksaan dilakukan.

Insiden berkenaan sekali lagi mendedahkan realiti pahit perkhidmatan awam, di mana sikap berpura-pura sibuk dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab sebenar masih menjadi cabaran besar dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan. - Agensi