PENGUMUMAN bahawa dunia telah memasuki era 'kebankrapan air global' menandakan satu titik perubahan besar dalam cara isu air harus difahami dan ditangani.
Menurut laporan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Selasa lalu, dunia kini tidak lagi berdepan krisis sementara yang boleh dipulihkan, sebaliknya menghadapi kegagalan sistemik yang berpanjangan serta semakin sukar diperbaiki.
Selama beberapa dekad, istilah 'krisis air' digunakan bagi menggambarkan tekanan sementara terhadap sumber air akibat kemarau, pertumbuhan penduduk atau perubahan iklim.
Namun, laporan terbaharu ini menegaskan bahawa andaian tersebut tidak lagi relevan.
Di kebanyakan rantau, sistem air telah rosak sehingga tidak mampu kembali kepada paras asal, sekali gus menjadikan keadaan semasa sebagai norma baharu yang lebih rapuh.
Data yang dikemukakan amat membimbangkan. Lebih 50 peratus tasik besar dunia dilaporkan menyusut sejak awal 1990-an, termasuk tasik yang menjadi sumber utama bekalan air, makanan dan ekonomi kepada jutaan penduduk.
Dalam tempoh sama, kira-kira 35 peratus tanah lembap semula jadi dunia telah hilang sejak 1970, menjejaskan fungsi ekologi kritikal seperti penyimpanan air, penapisan pencemar dan kawalan banjir.
Konsep kebankrapan air yang diperkenalkan laporan ini merangkumi dua elemen utama.
Pertama, ketidakmampuan (insolvency), iaitu keadaan apabila pengambilan dan pencemaran air berlaku melebihi kadar pembaharuan semula jadi.
Kedua, ketidakbolehbalikan (irreversibility), apabila kerosakan terhadap ekosistem air seperti tasik, sungai dan tanah lembap mencapai tahap yang menjadikan pemulihan hampir mustahil.
Gabungan kedua-dua faktor ini menjadikan pemulihan bukan lagi persoalan masa, tetapi persoalan kemampuan sebenar.
Kesan kebankrapan air ini sudah dirasai secara meluas. Laporan PBB mendedahkan bahawa hampir 75 peratus penduduk dunia kini tinggal di negara yang diklasifikasikan sebagai tidak selamat air atau kritikal tidak selamat air.
Lebih memburukkan keadaan, sekitar empat bilion orang mengalami kekurangan air yang teruk sekurang-kurangnya sebulan setiap tahun, sekali gus mencerminkan skala krisis kemanusiaan global yang semakin mendalam.
Dari sudut ekonomi, kos yang ditanggung amat besar. Kesan kemarau sahaja dianggarkan menelan belanja sekitar AS$307 bilion setahun (RM1.2 trilion), merangkumi kerugian pertanian, gangguan bekalan tenaga dan peningkatan kos kesihatan awam.
Namun, beban ini tidak ditanggung secara adil. Petani kecil, masyarakat Orang Asli dan penduduk bandar berpendapatan rendah merupakan kelompok paling terkesan, manakala manfaat penggunaan air berlebihan sering dinikmati sektor industri besar dan pertanian komersial.
Pengarah Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti PBB, Kaveh Madani menegaskan bahawa kebankrapan air bukanlah penamat, sebaliknya titik permulaan kepada pemulihan berstruktur.
Namun, seperti kebankrapan kewangan, pemulihan menuntut pengakuan kegagalan, penstrukturan semula penggunaan sumber dan keberanian politik.
Tanpa perubahan radikal dalam cara dunia mengurus air, krisis ini berisiko diwariskan dalam bentuk yang lebih parah kepada generasi akan datang.
Dalam konteks global yang saling bergantung, kebankrapan air tidak lagi boleh dilihat sebagai isu setempat. Sistem air yang gagal di satu rantau berpotensi mencetuskan kesan rantaian melalui perdagangan makanan, migrasi penduduk dan ketegangan geopolitik.